SERIAN: Suasana pilu menyelubungi perkarangan rumah mendiang Joanna Felicia Rohna di Kampung Engkaroh, Tebakang, di sini, hari ini apabila anak perempuan memanggil ibunya dengan nada sayu.
“Mami irak gepih (mama pergi mana),” kata kanak-kanak perempuan itu, Allesia Felice Haslie, 4, dalam bahasa Bidayuh sebaik melihat keranda ibunya, Laskar Kanan Joanna Felicia, 26, diusung oleh sepasukan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Allesia yang didukung bapanya, Bintara Muda TMK Haslie Ali, 33, turut berulang kali melambai ke arah keranda ketika anggota TLDM memasukkannya ke dalam van jenazah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Kristian Kampung Engkaroh.
Gelagat kanak-kanak itu membuatkan ramai yang hadir termasuk Ahli Parlimen Serian, Tan Sri Richard Riot Jaem, menitiskan air mata.
Ketika upacara doa sebelum pengebumian, gelagat Allesia terus membuatkan ramai yang hadir sebak apabila berulang kali memanggil ‘mami’ sambil berjalan berdekatan keranda.
Allesia adalah anak sulung mendiang Joanna, anggota TLDM yang terkorban dalam nahas dua helikopter iaitu pesawat Fennec (M502-6) dan pesawat HOM (M503-3) yang bertembung sebelum terhempas di Pangkalan TLDM Lumut pada jam 9.30 pagi, Selasa lalu.
Seorang lagi anak mendiang, Hovannes Haslie, yang berusia setahun hanya mendiamkan diri ketika didukung oleh anggota TLDM wanita sepanjang upacara pengebumian itu.
Turut hadir pada upacara itu, Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Fauzi Kamis; Pemangku Ketua Staf Am Markas Pemerintahan Medan Timur (MK PMTTD) Brigedier Jeneral Mohd Rafi Muhammad yang mewakili Panglima Medan Timur Tentera Darat dan Ketua Pengarah Pasukan Projek Littoral Combat Ship TLDM Lumut, Laksamana Pertama Ir. Ts. FranklinJeyasekhar Joseph.
Jasad mendiang Joanna Felicia, yang diterbangkan dari Ipoh dengan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tiba di Pangkalan Udara Kuching pada jam 11.54 malam tadi.
Sejurus tiba, jasad mendiang yang berasal dari Kampung Sumpas Tampek, Serian dibawa ke rumah keluarga suaminya di Kampung Engkaroh.
Selain Joanna Felicia, enam lagi pegawai dan anggota TLDM yang terkorban dalam pesawat HOM (M503-3) ialah Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, Pegawai Waran II TLR Muhammad Faisol Tamadun, Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy, Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar.
Tiga lagi mangsa yang menaiki Fennec (M502-6) pula ialah Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan Sivasutan a/l Thanjappan dan Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.