BADRUL Hisham atau Chegu Bard ketika sidang media selepas selesai pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Johor Bahru: Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut berhubung projek kasino di Forest City menerusi media sosial, Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Badrul Hisham, 45, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Rasidah Roslee.
Mengikut pertuduhan, ahli politik itu didakwa membuat penerbitan menghasut akaun Facebook atas nama Che GuBard di Mutiara Villa, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, jam 6.30 petang, 26 April lalu.
Pendakwaan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan barisan Timbalan Pendakwa Raya diketuai Datuk Masri Mohd Daud, Abdul Ghafar Ab Latif, Abdul Malik Ayob dan Nadia Mohd Izhar, manakala Chegu Bard diwakili Muhammad Rafique Rashid Ali.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, turut hadir sebagai peguam pemerhati dan memberi sokongan terhadap Chegu Bard.
Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan jaminan RM20,000 kepada Chegu Bard bagi setiap tuduhan dengan seorang penjamin.
“Selain itu, pendakwaan memohon perintah larangan supaya tertuduh tidak mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan umum di mana-mana termasuk platform media sosial sehingga kes selesai.
“Oleh itu, perintah larangan adalah perlu supaya tertuduh tidak mengeluarkan komen atau sebarang kenyataan umum bagi memastikan perjalanan kes tidak diganggu-gugat,” katanya.
Namun, peguam tertuduh, Muhammad Rafique, menyifatkan cadangan jaminan itu sebagai terlalu tinggi selepas mengambil kira jumlah denda dikenakan jika disabit kesalahan atas pertuduhan berkenaan.
“Anak guam juga sudah dituduh atas kesalahan sama di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur dengan jaminan ditetapkan pada RM10,000 dengan seorang penjamin.
“Perintah larangan yang dimohon pihak pembelaan pula tidak khusus dan bersifat injuksi. Perintah itu adalah tidak berperlembagaan kerana mengikut Perkara 10, rakyat Malaysia ada kebebasan untuk membincang sesuatu perkara secara terbuka mengikut undang-undang,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan itu
Hakim turut menolak cadangan perintah larangan dimohon dengan alasan pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti atau afidavit secara bertulis bagi menunjukkan Chegu Bard atau pihak berkaitan akan menjejaskan keadilan perbicaraan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 24 Jun depan bagi penyerahan dokumen dan penetapan tarikh perbicaraan.