ABUBAKAR memeluk 1,123 pokok untuk mencipta rekod berkenaan. FOTO GWR
Washington: Aktivis alam sekitar dan penuntut perhutanan yang berasal dari Ghana mencipta rekod dunia baharu bagi pokok paling banyak dipeluknya dalam masa satu jam.
Rekod Dunia Guinness (GWR) melaporkan, Abubakar Tahiru, 29, memeluk 1,123 pokok, dengan purata hampir 19 pokok untuk seminit.
Abubakar dibesarkan dalam komuniti petani di Tepa, Ghana yang mencetuskan minatnya terhadap pemuliharaan alam semula jadi.
Dia menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda pengkhususan dalam perhutanan di salah sebuah universiti terkemuka di Ghana.
Abubakar kemudian berpindah ke Alabama, Amerika Syarikat (AS) pada tahun lalu untuk memulakan Ijazah Sarjana dalam bidang perhutanan di Universiti Auburn.
Percubaannya untuk mencipta rekod dunia itu diadakan di Hutan Negara Tuskegee, salah satu daripada empat hutan negara di Alabama.
Untuk tujuan rekod berkenaan, pelukan itu ditakrifkan apabila kedua-dua tangannya dapat ‘melilit’ pokok dalam pelukan erat.
Tiada pokok boleh dipeluk lebih daripada sekali dan tiada kerosakan berlaku pada mana-mana pokok, atau percubaan itu dibatalkan.
Abubakar berkata, bahagian paling sukar dalam percubaan untuk mencipta rekod itu adalah bergerak pantas di antara pokok sambil memastikan setiap pelukan memenuhi piawaian ditetapkan.
Dia juga mendapati gerakan memeluk yang berulang-ulang itu agak memenatkan.
Apa yang menjadikan percubaan rekodnya lebih sukar adalah dia berpuasa.
“Tidak dapat minum air sepanjang percubaan menimbulkan cabaran yang ketara, terutamanya memandangkan usaha fizikal yang diperlukan
“Bagaimanapun, ia juga terbukti membantu dalam satu cara kerana (saya) tidak perlu berhenti seketika untuk minum air, membolehkan saya meneruskan percubaan tanpa gangguan dari awal hingga akhir,” katanya.
Selepas mendapat purata satu pelukan setiap tiga saat, Abubakar dengan mudah melepasi syarat minimum 700 pokok untuk menjadi pemegang pertama rekod ini.