FUJIKAWAGUCHIKO: Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah bandar kecil Jepun untuk membina penghadang bagi menghalang pemandangan paling terkenal di negara itu, Gunung Fuji, selepas penduduk tempatan mengadu tingkah laku buruk pelancong yang ‘gila bergambar’.
Pekan Fujikawaguchiko mula membina panel jaring di tempat yang popular dalam kalangan pelancong asing untuk berkunjung setiap hari bagi mengambil gambar gunung yang tersergam indah di belakang kedai serbaneka Lawson.
Foto-foto yang diambil dari jalan yang sempit di seberang jalan yang sibuk dari kedai Lawson – yang terdapat di mana-mana di Jepun – dikongsi secara meluas dalam talian.
Pegawai tempatan dan penduduk berkata, walaupun bandar itu mengalu-alukan pelawat, mereka masih perlu berbuat sesuatu untuk menghalang pelancong daripada melintas jalan semberono, mengabaikan lampu merah, membuang sampah, menceroboh, meletak kenderaan secara haram dan merokok di luar kawasan yang ditetapkan.
“Ia menjadi perkara biasa bagi orang ramai untuk menjerit kepada kami apabila kami meminta mereka mengalihkan kereta, dan ada masanya mereka membuang rokok yang masih menyala (ke tanah),” kata pejabat doktor gigi yang terletak di seberang jalan dari kedai Lawson dalam satu kenyataan.
Menjelang pertengahan bulan ini, bandar itu merancang untuk melengkapkan penghadang setinggi 2.5 meter dengan lebar 20 meter untuk menghalang pemandangan gunung, dengan harapan ia akan menghalang pelancong daripada berlegar-legar di kawasan bandar itu.
Tindakan diambil bandar itu telah mencetuskan perdebatan utama negara dan antarabangsa, kerana Jepun mengalami masalah pelancongan keterlaluan, terutamanya di tapak popular seperti lorong-lorong peribadi yang sempit di Kyoto, dan juga denai di Gunung Fuji itu sendiri, di mana pelancong suka mengambil gambar diri mereka dan menyiarkannya di media sosial.
Dewan perbandaran Fujikawaguchiko telah dibanjiri dengan panggilan telefon daripada orang Jepun, kebanyakannya bukan penduduk tempatan, yang telah mengkritik tindakan menghalang pemandangan itu.
“Bukannya kami tidak mahu orang ramai melihat Gunung Fuji. Isunya ialah terdapat begitu ramai orang yang tidak dapat mematuhi peraturan asas,” kata seorang pegawai bandar kepada AFP. – AFP