Keadaan kereta yang terbabas ke dalam parit berhampiran Kompleks Sukan Bagan Datuk. – Foto JBPM Perak
BAGAN DATUK: Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera setelah kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki mereka terbabas masuk ke dalam parit berhampiran Kompleks Sukan Bagan Datuk, di sini hari ini.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kejadian itu berlaku sekitar jam 3.25 pagi tadi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang dikejarkan ke lokasi.
“Didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Iswara terbabas ke dalam parit dan melibatkan tiga orang mangsa.
“Dua daripadanya terperangkap di dalam kereta manakala seorang lagi tercampak keluar dari kenderaan yang sama,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Ujar Sabarodzi, Komander operasi kemudiannya membuat size up dan mengarahkan anggota menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa.
“Dua orang mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.
“Seorang lagi mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya lagi.
Operasi yang membabitkan seramai sembilan orang anggota itu diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Nafis Nazmi Bin Abdul Hadi dan tamat jam 4.50 pagi.