Lelaki daki Bukit Hilltop hilang sejak Sabtu lalu ditemui selamat

BATU KAWAN – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas mendaki Bukit Hilltop di sini sejak 18 Mei lalu ditemui selamat hari ini.

Ia sekali gus menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Azfar Ismail, 29, yang diadakan selama tiga hari.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Chong Boo Khim berkata, mangsa ditemui nelayan tempatan pukul 2 petang tadi di kawasan paya bakau di jeti nelayan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kawan.

Jarak Bukit Hilltop dengan lokasi mangsa ditemui adalah kira-kira tiga kilometer.

“Mangsa ditemui dalam keadaan selamat namun keletihan selain terdapat kesan calar pada bahagian tangan. Dia (mangsa) telah diberikan rawatan awal di lokasi penemuan sebelum dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk rawatan lanjut.

“Buat masa ini kita tidak tahu punca kehilangan mangsa dan keterangannya hanya akan dirakam selepas dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Mengulas mengenai SAR, Boo Khim berkata, operasi pencarian mangsa bermula 19 Mei lalu kira-kira pukul 2 pagi selepas pihaknya menerima laporan daripada abang mangsa berhubung kehilangan adiknya.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa,” katanya. – MalaysiaGazette