MB Perlis serah kepada mahkamah kes anaknya dituduh rasuah

ARAU: Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menyerahkan kepada mahkamah untuk membicarakan kes anak lelakinya yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini.

Katanya, beliau belum pasti mengenai pertuduhan terhadap anaknya hari ini dan tidak berhubung dengan anaknya sebelum ke mahkamah pagi tadi.

“Pagi ini anak saya dihadapkan ke mahkamah dengan satu pertuduhan, saya pun tak pasti apa pertuduhan dia dan selebihnya kita serah kepada mahkamah untuk dia dibicarakan.

“Dia belum bersalah dan dibuat pertuduhan, …kita tunggu prosedur mahkamah, saya tak jumpa dia pagi tadi, dia duduk rumah dia, saya duduk di rumah saya,” katanya ditemui pada Majlis Pengisytiharan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hussein hari ini.

Majlis pengisytiharan itu disempurnakan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Ketika ditanya mengenai adakah beliau ada menghubungi anaknya menerusi telefon sebelum ini untuk bertanyakan mengenai pertuduhan yang bakal dihadapi, Mohd Shukri berkata dia tidak berbuat demikian.

“Saya tidak berhubung dengan dia, saya pun tak bercakap dengan dia lagi, jadi saya serah kepada dia (anak) dan peguam dia,” katanya.

Pagi tadi, Mohd Syafeeq, seorang pemilik syarikat yang juga anak kepada Menteri Besar Perlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu sebanyak RM19,505.10 berkaitan perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar pada Februari lalu.

Mohd Shukri, 35, mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.