GUA MUSANG: Pemilik ladang Musang di daerah ini menjangkakan hanya mampu meraih 30 peratus hasil durian Musang King berikutan cuaca panas dan tidak menentu menjejaskan pengeluaran buah.
Tina Chong, 45, yang memiliki lebih sembilan hektar ladang durian, berkata sejak dua minggu lalu banyak buah yang sedang membesar gugur akibat cuaca panas pada siang hari dan hujan pada waktu petang atau malam.
Katanya, hasil pengeluaran duriannya merosot 70 peratus kerana cuaca panas yang melampau menyebabkan terdapat pokok yang ‘sakit’ dan langsung tidak dapat menghasilkan buah.
“Perubahan cuaca menyebabkan sebahagian daripada 1,000 batang pokok durian seperti Musang King tidak dapat berbuah dan ada antaranya yang gugur apabila hujan lebat dan ribut.
“Cuaca panas yang melanda daerah Gua Musang antara 35 sehingga 38 darjah Celcius menyebabkan hasil durian termasuklah Musang King dan Duri Hitam yang diusahakan oleh saya dapat dijual kira-kira 30 peratus sahaja tahun ini,” katanya ketika ditemui di kebun duriannya di Taman Rusa, di sini hari ini.
Tina berkata, dengan pengeluaran hasil yang hanya 30 peratus itu hanya cukup untuk menampung kos bagi menguruskan ladang miliknya yang dianggarkan mencecah RM400,000 setahun terutama bagi kos penjagaan kebun dan upah pekerja.
“Pada tahun sebelum ini sebatang pokok durian yang ditanam boleh menghasilkan 300 hingga 400 biji durian. Namun, pada tahun ini jumlah itu tidak dapat dicapai bagi setiap batang pokok dan ada yang tidak berbuah langsung,” katanya.
Beliau menjangkakan harga durian Musang King boleh melebihi RM80 sekilogram bagi gred A pada tahun ini kerana faktor buah yang kurang, berbanding tahun lalu dijual dengan harga serendah RM35 sekilogram.
“Saya juga tidak dapat mengeksport Durian Musang King ke negara China dan Singapura kerana hasil buah berkurangan serta cukup untuk pasaran tempatan sahaja,” katanya.