Polis Pahang tahan 216 individu dalam Ops Hawks

KUANTAN: Seramai 226 individu termasuk 11 wanita dipercayai terbabit dalam aktiviti penagihan dan pengedaran dadah ditahan dalam Ops Hawks yang diadakan selama tiga hari berakhir semalam di 11 daerah di negeri ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata mereka yang ditahan berumur antara 16 dan 64 tahun.

Katanya, sepanjang tempoh tiga hari itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang melakukan 138 serbuan dan 281 pemeriksaan di kawasan penagihan yang dikenal pasti serta kawasan FELDA.

“Operasi ini bertujuan tindakan berterusan dan agresif terhadap individu terbabit dalam aktiviti penagihan dan pengedaran dadah.

“Operasi ini juga merupakan tindakan intervensi bagi mengurangkan kadar jenayah di Pahang.

“Penguatkuasaan berterusan dilaksanakan untuk membanteras gejala pengedaran dan penyalahgunaan dadah dilihat dapat mengurangkan ‘fear of crime’ masyarakat terhadap kesan buruk daripada permasalahan dadah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Yahaya berkata, Ops Hawks itu dijalankan secara serentak di 11 daerah di Pahang membabitkan 14 pegawai dan 101 anggota.

Katanya, jumlah rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan berjumlah RM33,287 manakala tiga motosikal dan wang tunai berjumlah RM18,020 turut disita.

“Oleh itu, sebarang maklumat kegiatan atau aktiviti dadah boleh disalurkan ke Pusat Kawalan Kontinjen Pahang (CCC) di talian 09-5051999/2202 dan juga hotline JSJN Pahang di talian 09-5052287 atau balai polis berhampiran,” katanya.