KUALA TERENGGANU: Bayi tanpa telinga tetapi didakwa boleh mendengar yang tular sebelum ini meninggal dunia petang semalam.
Muhammad Firdaus Zaquan Abdul Wahab, 23 bulan dari Kampung Laut di sini, meninggal dunia selepas demam berpanjangan sejak 28 Mei lalu sebelum paru-parunya dijangkiti kuman.
Anak bongsu daripada lima beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Laut pada jam 8 malam tadi.
Ibunya, Rozana Zakaria@Omar, 42, berkata, anaknya meninggal dunia di pangkuannya pada jam 3.45 petang ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
“Jika diikutkan Muhammad Firdaus sudah tidak demam dan hanya menunggu masa untuk dibenarkan pulang ke rumah.
“Bagaimanapun Muhammad Firdaus tiba-tiba menjadi pucat ketika berada di pangkuan saya dan dirujuk kepada doktor seterusnya disahkan meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Beliau berkata, anaknya itu baru sahaja boleh berjalan sejak dua bulan lalu.
“Kami belum puas bermain dengan arwah sejak dia boleh berjalan tetapi apa boleh buat umurnya tidak panjang.
“Sebagai ibu saya dan keluarga sudah puas hati menjaganya termasuk memenuhi segala keperluan rawatan arwah,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang bayi boleh dianggap paling istimewa apabila dilahirkan tanpa dua telinga namun didakwa boleh mendengar dengan baik.