Speedy Tigers perlu kenduri gol, harap ihsan Pakistan

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara wajib menang besar ke atas Kanada selain mengharapkan Pakistan menewaskan Perancis pada aksi terakhir Kumpulan B, esok untuk melangkah ke separuh akhir Piala Negara-Negara FIH di Gniezno, Poland.

Terdahulu, Malaysia memilih laluan sukar untuk menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik selepas tewas 1-3 di tangan Perancis pada aksi kedua di Stadium Nasional Gniezno, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad bimbingan Sarjit Singh ketika ini menghuni tangga ketiga kumpulan dengan satu mata, Perancis mendahului carta dengan enam mata manakala Pakistan kedua (empat mata) dan Kanada tercorot (tanpa sebarang mata).

Mengikut format kejohanan, hanya dua pasukan teratas kumpulan layak ke separuh akhir.

Sarjit mengakui ia adalah satu kerugian buat skuad bimbingannya untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata ketika menentang Perancis dengan anak buahnya dihukum atas kesilapan mudah yang dilakukan mereka.

“Banyak ruang untuk pemain meningkatkan lagi kemahiran mereka. Perlu analisis apa yang berlaku dengan lima pukulan sudut penalti yang kita tidak dapat laksanakan dengan baik.

“Perlawanan seterusnya kami tiada pilihan lain selain mengatasi Kanada.

“Tidak mustahil untuk pasukan melakukan sesuatu pada perlawanan terakhir itu dan mentaliti juara perlu diterapkan kepada semua pemain,” kata Sarjit.

Pada pertemuan menentang Perancis, lawan tidak menunggu lama apabila Timothee Clement menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti seawal minit kelima sebelum tonggak penyerang negara, Faizal Saari menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang pada minit ke-28.

Kegembiraan skuad negara tidak bertahan lama apabila Francois Goyet terus merobek gawang negara pada minit ke-43 menerusi jaringan padang selain Etienne Tyneves tidak melepaskan peluang memanfaatkan pukulan penalti pada minit ke-60 untuk mengesahkan kemenangan.

Jika gagal ke separuh akhir skuad negara hanya bersaing bagi kedudukan tempat kelima hingga kelapan terbaik.