Bekas Timbalan Pendakwa Raya peguam baharu wakili ibu bapa Zayn Rayyan?

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Pendakwa Raya, Fahmi Abd Moin dikatakan dilantik sebagai peguam baharu mewakili ibu bapa kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditahan polis Jumaat lalu bagi membantu siasatan kes kematian kanak-kanak berusia enam tahun itu.

Difahamkan, Fahmi dijangka hadir prosiding membabitkan reman pasangan suami isteri berkenaan pada Jumaat ini, sama ada tamat atau disambung lagi, namun beliau yang dihubungi BH hari ini, enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, datuk kepada Zayn Rayyan, Zahari Mohd Reba seperti dilaporkan Harian Metro, memaklumkan keluarga mereka sudah melantik peguam baharu mewakili ibu bapa kanak-kanak itu yang kini dalam tahanan reman bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ia selepas peguam sedia ada, Mahmud Abdul Jumaat, yang dilantik selepas pasangan suami isteri berusia 28 tahun itu ditahan polis pada Jumaat lalu, memaklumkan bahawa beliau tidak lagi mewakili mereka bermula hari ini.

Peguam berkenaan turut hadir semasa prosiding permohonan reman ke atas suami isteri itu di Mahkamah Petaling Jaya, Sabtu lalu sebelum Majistret Ainaa Muhammad Kamal membenarkan reman tujuh hari sehingga 7 Jun.

Dalam satu kenyataan, Mahmud daripada firma guaman, Tetuan Emir Mahmud & Co, memaklumkan keputusan itu terpaksa dibuat kerana mahu memberi tumpuan kepada beberapa kes lain yang sedang dikendalikannya.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ibu bapa kanak-kanak terbabit ditahan di kediaman keluarga mereka di Puncak Alam, pada jam 10.05 pagi bagi membantu siasatan polis.

Pada 6 Disember lalu, Zayn Rayyan yang juga anak sulung pasangan berkenaan ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di kawasan saliran air, kira-kira 200 meter dari kediaman keluarganya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya.

Sehari sebelum itu, polis mengesahkan menerima laporan daripada keluarga mangsa berhubung kehilangan kanak-kanak terbabit pada jam 6.30 petang. Bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan leher, berkemungkinan besar dicekik atau dijerut.