Penunggang maut langgar kerbau melintas

KUANTAN: Seorang lelaki maut, manakala seorang lagi cedera selepas motosikal ditunggang mereka melanggar seekor kerbau yang melintas jalan berhampiran sebuah ladang di Felda Bukit Sagu di sini, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata dalam kejadian 4.30 pagi itu, Muhammad Tangtawi Mohamad Ali, 21 dari FELDA Bukit Sagu Dua, di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Katanya, manakala seorang lagi penunggang berumur 21 tahun dari FELDA Bukit Sagu mengalami kecederaan pada muka dan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

“Berdasarkan laporan, kemalangan itu membabitkan dua motosikal dengan seekor kerbau. Siasatan awal mendapati, mangsa dari arah Bukit Goh menghala ke arah Bukit Sagu.

“Setibanya di tempat kejadian, ketika dua lelaki itu menunggang motosikal di laluan lurus, tiba-tiba seekor kerbau melintas jalan yang menyebabkan dua mangsa itu tidak sempat mengelak lalu melanggar kerbau itu.

“Akibat kemalangan itu, Muhammad Tangtawi yang bekerja sendiri disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penunggang yang mengalami kecederaan pada muka dihantar ke HTAA untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian, permukaan jalan rata dan kering serta gelap dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.