Polis kesan lelaki cabul wanita di pasar raya

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai mencabul seorang di sebuah pasar raya di Selayang di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner, Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata siasatan dijalankan sejurus laporan dibuat mangsa.

“Pihak polis meminta saksi kejadian atau orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan dengan berkongsi maklumat bagi mengenal pasti identiti pelaku.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Ahmad Sukarko berkata, siasatan lanjut pada masa ini dijalankan oleh Bahagian Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Kejadian tular di media sosial itu memaparkan mangsa sedang membeli-belah di pasar raya berkenaan.

Video dipercayai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian itu menunjukkan seorang lelaki melepasi mangsa sebelum tangannya dilihat menyentuh punggung mangsa.