TERKINI: Ibu bapa Zayn Rayyan dituduh abai anak

PETALING JAYA: Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal pada Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf masing-masing berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga jam 9.55 malam, 6 Disember.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin, manakala peguam Fahmi Abd Moin dan Mahmud Jumaat masing-masing mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira.

Ibu bapa budak autisme, Zayn Rayyan ditahan reman pada 31 Mei lalu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 kerana membunuh. Reman pasangan itu tamat hari ini.

Terdahulu, peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili bapa Zayn Rayyan berkata, anak guam dan isterinya boleh didakwa atas pertuduhan selain di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh kanak-kanak autisme itu.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan terbaring di anak sungai berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman, Sungai Buloh selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Berikut kronologi kes kehilangan dan pembunuhan Zayn Rayyan

5 Disember 2023

– Ibu Zayn Rayyan berkongsi kisah kehilangan anaknya di Facebook

6 Disember 2023

– Ibu Zayn Rayyan dakwa anaknya hilang ketika menaiki tangga di Blok R, kediaman mereka sekitar tengah hari pada 5 Disember

– Keluarga kanak-kanak itu ikhtiar perubatan secara Islam dan adakan solat hajat

– 9 malam: Operasi pencarian oleh penduduk dan polis sekitar Apartment Idaman babitkan 2,482 unit kediaman.

– 10 malam: Mayat Zayn Rayyan ditemukan di anak sungai, 100 meter dari kediaman keluarganya oleh penduduk.

– Lokasi anak sungai tempat mayat Zayn Rayyan ditemui adalah kawasan pencarian yang sudah dilakukan Unit Anjing Pengesan (K9) sebanyak tiga kali.

– Pada mulanya, penemuan mayat diklasifikasikan polis sebagai kematian mengejut (SDR).

7 Disember 2023

– Keluarga Zayn Rayyan masih tunggu laporan bedah siasat

– 5 petang: Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan Zayn Rayyan dibunuh, bedah siasat dapati ada kecederaan pada tubuh badan mangsa.

– Kes diklasifikasi sebagai kes bunuh dan disiasat ikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

– Jenazah Zayn Rayyan disemadikan di Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara.

– 6 petang: Lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan ditutup polis yang mula mencari bukti

8 Disember 2023

– Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum ditinggalkan di anak sungai tempat penemuannya.

10 Disember

– Polis mencari bukti di sebuah stor berhampiran Blok R selain mengambil sampel di kediaman Zayn Rayyan.

– Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini sebanyak 48 individu diambil keterangan babitkan ahli keluarga, jiran dan saksi-saksi.

– Sampel DNA diambil daripada 228 penduduk perumahan itu

– Pemeriksaan dibuat terhadap 5,628 penghuni babitkan 2,484 kediaman perumahan itu

13 Disember 2023

– Polis temui sehelai stokin dalam takungan air di anak sungai berhampiran lokasi mayat Zayn Rayyan dijumpai selepas dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor yang menyedut keluar takungan air di lokasi itu.

– Polis tahan tiga individu dipercayai positif dadah di Apartment Damai hasil saringan DNA kes Zayn Rayyan tetapi tidak berkait kes bunuh itu.

14 Disember 2023

– Polis dapat maklumat dua saksi dakwa terlihat Zayn Rayyan di tingkat dua dan tiga Blok R Apartment Idaman, Damansara Damai, kira-kira 5 petang, hari mangsa dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023.

– Sebanyak 86 keterangan dan 238 DNA sudah diambil polis setakat ini.

23 Disember 2023

– Bukit Aman minta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mendapatkan bantuan dalam semakan pangkalan data berkaitan beberapa maklumat yang diperoleh hasil siasatan kes bunuh Zayn Rayyan.

28 Disember 2023

– Polis mengeluarkan kenyataan tidak menutup siasatan kes bunuh Zayn Rayyan meskipun tiada petunjuk baharu setakat ini

7 Januari 2024

– Polis mengesahkan menerima menerima maklumat Interpol namun secara am.

6 Februari 2024

– Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor tawar ganjaran RM20,000 kepada pihak yang salur maklumat sehingga tertangkapnya pembunuh Zayn Rayyan.

21 Mac 2024

– Polis nafi lambat bertindak dalam siasatan pembunuhan Zayn Rayyan

– Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, tegaskan polis berusaha sejak hari pertama Zayn Rayyan dilaporkan hilang

8 Mei 2024

– Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, tegaskan polis tidak pernah menutup siasatan kes bunuh Zayn Rayyan dan masih menanti petunjuk baharu.

31 Mei 2024

– KP Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan ibubapa Zayn Rayyan ditahan di Puncak Alam, Selangor, pada jam 10 pagi.

1 Jun 2024

– Ibu bapa Zayn Rayyan direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya

7 Jun 2024

– Tempoh reman ibu dan bapa Zayn Rayyan disambung enam hari lagi

10 Jun 2024

– Ibu Zayn Rayyan dibawa kembali ke Apartment Idaman, Damansara Damai untuk lakon semula situasi kejadian semasa kehilangan kanak-kanak itu sehinggalah mayatnya ditemui 6 Disember lalu

12 Jun 2024

– Datuk dan nenek Zayn Rayyan pula ditahan anggota D9 Selangor jam 2.30 petang.

Source :