SHAH ALAM: Penyertaan Malaysia dalam organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) dapat memberikan pelbagai manfaat terutamanya ekonomi.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata beberapa negara seperti Arab Saudi, Mesir dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) juga turut menganggotai BRICS.
Beliau berkata, ketika ini proses penyertaan Malaysia dalam BRICS juga berjalan lancar dan sebarang perkembangan mengenainya akan diumumkan oleh kerajaan.
“Malaysia sudah terbabit selama ini dalam beberapa platform perdagangan dua hala dan pelbagai hala serta negara anggota kepada 15 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).
“BRICS ini adalah forum ekonomi dan Malaysia terbuka untuk berbincang. Seperti dikatakan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kita akan mulakan proses penyertaan,” katanya selepas merasmikan Kilang Korporat Chery Malaysia di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Dr Jin Zhuanglong dan Pengerusi Chery Automobile Co Ltd, Yin Tongyue.
Anwar sebelum ini berkata Malaysia akan memulakan prosedur rasmi untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS.
Katanya, Malaysia ketika ini mengambil keputusan yang sewajarnya dan akan melancarkan proses rasmi tidak lama lagi.
Anwar juga sebelum ini turut mengadakan perbincangan mengenai pengembangan BRICS dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
Kumpulan BRICS telah menyaksikan dua gelombang pengembangan sejak kemunculannya pada 2006.
Pada 2011, Afrika Selatan menyertai ahli asal yang termasuk Brazil, Russia, India dan China.
Pada Ogos 2023, enam ahli baharu, termasuk Argentina, dijemput untuk menyertai kumpulan itu.
Buenos Aires menukar fikirannya pada akhir Disember tahun lalu. Lima ahli baharu iaitu Mesir, Iran, UAE, Arab Saudi dan Ethiopia, secara rasmi menyertai kumpulan itu pada 1 Januari 2024.
Kumpulan itu dibentuk untuk menyatukan negara-negara membangun yang paling penting di dunia, bagi mencabar kuasa politik dan ekonomi negara-negara kaya di Amerika Utara dan Eropah Barat.