GUA MUSANG: Seorang remaja perempuan maut selepas pacuan empat roda dipandu abangnya terbabas sebelum merempuh tiang elektrik dan terbalik di Kilometer (KM) 17 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.35 pagi itu, Huda Wafiah Eswady, 14, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala ibunya cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Gua Musang.
Abang mangsa bersama bapa dan seorang kakaknya hanya cedera ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Nor Azizi Che Noh, berkata pihaknya menerima panggilan melalui Sistem MERS 999 jam 7.17 pagi tadi.
Beliau berkata, sejurus anggota bomba tiba di lokasi, terdapat sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux terbabas dan merempuh tiang elektrik.
“Terdapat seorang remaja perempuan yang tersepit dalam kenderaan, manakala seorang lagi penumpang belakang mengalami cedera parah dan tiga lagi cedera ringan.
“Mangsa yang mengalami cedera parah dan cedera ringan dihantar ke Hospital Gua Musang menggunakan kenderaan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Nor Azizi berkata, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas dan disahkan meninggal dunia oleh kakitangan KKM yang tiba di lokasi.
“Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat jam 8.20 pagi,” katanya.