Sultan Kelantan sembelih dua lembu korban

KOTA BHARU: Sultan Muhammad V menyempurnakan ibadat korban dalam Majlis Ibadat Korban Jama’ie Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), di Padang Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini, hari ini.

Baginda yang berpakaian baju-T dan berseluar sukan, meluangkan 40 minit menyembelih dua ekor lembu dengan setiap seekor dianggar seberat satu tan.

Baginda tiba di majlis itu pada jam 10.40 pagi sebelum berangkat pulang jam 11.20 pagi.

Turut mengiringi, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Hasnan Ramli.

Sementara itu, Hasnan berkata, acara tahunan yang dilaksanakan MAIK mendapat sambutan baik dengan pertambahan penyertaan dan 53 lembu dikorbankan, termasuk tujuh kurniaan Sultan Kelantan.

“Bagi majlis hari ini, Tengku Muhammad Fakhry Petra bersama bonda baginda, Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, turut mengurniakan lembu untuk dikorbankan.

“Selain itu, lembu berkenaan juga disumbangkan oleh kerabat diraja, agensi kerajaan dan orang ramai.

“Seramai 400 petugas terbabit dalam program berkenaan bermula daripada proses melapah sehingga kepada agihan,” katanya.

Beliau berkata, daging korban akan diagih kepada 2,000 ketua isi rumah (KIR) asnaf fakir dan miskin.

“Agihan akan dibuat menerusi masjid terpilih bermula petang ini.

“Setiap penerima akan mendapat dua kilogram (kg) daging bersama tulang,” katanya.

BERITA BERKAITAN