KUALA LUMPUR: Orang ramai digesa berkongsi maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti yang dirasakan mempunyai elemen pemerdagangan manusia atau eksploitasi buruh paksa kepada polis.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Deputi Komisioner Fadil Marsus berkata, mangsa pemerdagangan manusia di negara ini terdiri daripada golongan rentan atau yang mudah diperdaya seperti warga emas, wanita, orang kelainan upaya (OKU) dan kanak-kanak.
Katanya, ada pelbagai jenis bentuk eksploitasi dilakukan terhadap golongan ini, antaranya mereka (mangsa) terikat dengan hutang terhadap individu atau ejen yang memperdayakan mereka di negara ini.
“Selain itu, mangsa pemerdagangan ini turut diperdayakan oleh ejen atau sindiket di negara asal mereka.
“Golongan ini sebaik tiba di Malaysia, mereka yang dijanjikan pekerjaan yang menjanjikan pulangan lumayan sebaliknya akan dipaksa menjadi buruh paksa, dipaksa menjadi pengemis dan peminta sedekah, menjadi hamba seks, tidak dibenarkan bertemu orang lain, dikurung di tempat kerja serta tinggal di tempat yang tidak kondusif,” katanya.
Fadil berkata, ada antara mangsa-mangsa ini turut diancam dengan pelbagai ugutan dan ancaman sama ada daripada majikan, ejen atau penjaga mereka termasuk akan dicederakan jika tidak melakukan apa yang diarahkan.
“Situasi ini adalah sama dengan mana-mana rakyat Malaysia yang diperdayakan di luar negara dan menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
“Justeru, apa yang kita (pihak polis) harapkan daripada masyarakat adalah untuk melaporkan segera sebarang aktiviti mencurigakan membabitkan pemerdagangan manusia kepada pihak polis,” katanya.
Beliau turut mendedahkan ada segelintir majikan atau ejen yang menyimpan dokumen pengenalan diri pekerja asing terbabit.
“Dalam situasi ini sekiranya ada individu yang memegang dokumen perjalanan diri atau passport milik mana-mana individu maka itu adalah menjadi satu kesalahan namun siasatan lanjut akan dijalankan jika tujuan dokumen itu disimpan adalah bagi mengelakkan mereka (warga asing) melarikan diri.
“Namun, jika tujuannya adalah untuk aktiviti pemerdagangan manusia serta adanya elemen ugutan maka pihak yang menyimpan dokumen perjalanan milik orang lain boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.