KUALA LUMPUR: Pemain beregu wanita, M Thinaah menyifatkan keputusan untuk beralih daripada acara perseorangan kepada beregu, lima tahun lalu adalah langkah tepat apabila menyaksikan dia bakal membuat kemunculan pertama di Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Thinaah yang mula bergandingan bersama Pearly Tan pada 2019, berkata peralihan itu adalah keputusan terbesar dalam kerjayanya dan mengakui ia bukan sesuatu perkara mudah kerana dia perlu mempelajari banyak perkara baharu bagi beraksi dalam acara beregu.
“Saya rasa ketika itu ia adalah situasi hidup atau mati untuk saya sebab transisi yang dihadapi bukan mudah. Tetapi setiap atlet pasti mempunyai impian untuk beraksi di Sukan Olimpik.
“Tapi saya memang tak sangka kali ini betul-betul dapat beraksi di Olimpik. Terima kasih kepada rakan gandingan saya (Pearly) yang sentiasa memberi sokongan kepada saya,” katanya.
Menurut Thinaah, dia perlu membuat keputusan penting dalam kerjayanya selepas pencapaian kurang memberangsangkan dalam acara perseorangan.
“Ketika itu saya perlu buat keputusan sama ada teruskan dengan bermain dalam acara beregu atau tinggalkan sukan badminton. Tapi kemudian jurulatih ketika itu, Rosman (Razak) terima saya sebagai pemain beregu.
“Dia banyak membimbing saya dan menjadikan di mana saya berada sekarang. Sebab itulah saya sangat teruja untuk beraksi di Olimpik,” katanya yang kini menduduki ranking ke-13 dunia bersama Pearly.
Thinaah berkata, keinginan yang tinggi dan semangat yang tidak pernah luntur setiap kali turun beraksi, adalah kunci kepada kejayaannya bangkit daripada kegagalan.
“Selepas beraksi banyak kejohanan, keserasian saya dengan rakan gandingan (Pearly) semakin bagus dan ia sangat penting. Sepanjang tempoh itu juga ramai yang membantu saya,” katanya.
Antara pencapaian terbesar Thinaah-Pearly sejak kedua-duanya digandingkan adalah memenangi pingat emas Sukan Komanwel di Birmingham serta juara Terbuka Switzerland 2021 dan Terbuka Perancis 2022.