Ubat khas untuk tumbuh gigi

Tokyo: Ujian klinikal ke atas ubat yang dapat menumbuhkan gigi yang hilang akan dilancarkan pada September depan, menurut pasukan yang diketuai Hospital Kitano di Osaka dan Hospital Universiti Kyoto di Kyoto.

Memetik laporan The Japan News, ubat itu direka untuk merawat agenesis pergigian, keadaan yang mana individu kekurangan gigi, sejak lahir.

Pasukan itu akan memberikan ubat itu kepada 30 lelaki sihat yang kehilangan beberapa gigi untuk mengesahkan keselamatan ubat itu, sebelum mengujinya kepada pesakit berumur antara dua hingga tujuh tahun.

Ia menyasarkan untuk meletakkan ubat itu di pasaran sekitar 2030. Jika berjaya, ini akan menjadi ubat pertama di dunia untuk menumbuhkan gigi baharu, kata pasukan berkenaan.

Di Jepun, kira-kira 120,000 orang dipercayai mempunyai genetik agenesis, yang menyebabkan banyak gigi hilang. Jika keadaan itu tidak dirawat, ia boleh menjejaskan perkembangan rahang dan bahagian badan yang lain.

Ini bermakna kanak-kanak mesti membuat gigi palsu beberapa kali apabila mencapai usia matang, dan apabila mereka mencapai usia dewasa, mungkin perlu memasang gigi tiruan terus ke rahang mereka.

Dalam eksperimen pada tikus, pasukan itu menemukan protein yang mengehadkan pertumbuhan gigi. Mereka mencipta antibodi untuk menyekat protein, dan memberikannya kepada tikus dan anjing dengan agenesis pergigian, yang kemudiannya menumbuhkan gigi.

Gigi dipercayai tumbuh daripada tisu yang diperlukan untuk perkembangan gigi, yang berhenti tumbuh kerana protein.

Dalam ujian klinikal, pasukan akan memberikan ubat atau plasebo secara intravena kepada lelaki berumur dari 30 hingga 64 tahun yang kehilangan beberapa gigi akibat kaviti atau sebab lain.

Ia akan memantau mereka untuk sebarang kesan buruk selama setahun.

Sekiranya ubat itu didapati selamat, pasukan itu akan menjalankan ujian klinikal pada 2026 ke atas kira-kira 50 kanak-kanak yang kekurangan empat atau lebih gigi, untuk mengesahkan keberkesanannya.

Rawatan itu dijangka menelan kos sekitar AS$12,800 (kira-kira RM60,000).

Pasukan itu akan meneruskan penyelidikannya dengan memberi tumpuan kepada merawat orang yang kehilangan gigi akibat gigi berlubang atau sebab lain.

Ketua Pembedahan Pergigian dan Mulut di Hospital Kitano, Katsu Takahashi berkata, pihaknya mahu meneruskan penyelidikan, dan mencipta pilihan ketiga selepas gigi palsu dan implan pergigian.

Source :