Pandangan Tok Mat mengenai saham MAHB pendapat peribadi – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: UMNO sependapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu pemilikan sebahagian saham dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) oleh Global Infrastructure Partners (GIP) yang ada kepentingan Blackrock Inc (Blackrock).

Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kenyataan Timbalannya, Datuk Mohamad Hassan berhubung isu itu semalam adalah pandangan peribadi Menteri Luar itu.

“Pendapat yang diberikan oleh Tok Mat (Mohamad) adalah pendapat peribadinya dan saya sudah bertemunya malam tadi.

“Beliau menyatakan itu hanya pandangannya dan bukan mencerminkan pandangan UMNO secara rasmi,” katanya di sini, hari ini.

Beliau ditemui ketika merasmikan Program Karisma Pemikir Madani Kepimpinan Tertinggi Pentadbiran UiTM seluruh negara.

Ahmad Zahid juga berkata isu itu juga sudah dibawa beberapa kali perbincangan dalam Kabinet, tetapi tidak dibincangkan secara terperinci.

“Butiran terperinci perkara itu sudah dijelaskan dalam pertemuan semalam bersama seluruh Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya.

Jumaat lalu, Anwar meminta isu berkenaan tidak dijadikan ‘wayang politik’ dan pada masa sama tidak boleh menafikan usaha kerajaan di dalam menyuarakan isu di Gaza.

Anwar menegaskan, kerajaan tidak mahu bertindak ke atas mana-mana syarikat asing yang didakwa mempunyai kaitan sokongannya dengan Israel, kerana langkah itu dikhuatiri akan menjejaskan ekonomi negara.

“Sementara kita keras memperjuangkan dan membela nasib rakyat Palestin, khususnya di Gaza, kita sedia berdepan dengan siapa saja.

“Tapi saya tidak mahu melemahkan kekuatan ekonomi negara. Kalau syarikat itu syarikat dari Israel saya tetap tegas (tak benarkan operasi di Malaysia). Itu yang saya nak jelaskan,” kata Perdana Menteri.

Anwar juga berkata MAHB dahulu berunding dengan GIP tetapi syarikat berkenaan diambil alih oleh Blackrock.

Semalam pula, Mohamad dipetik berkata keputusan berkenaan tidak dibuat melalui Kabinet, namun UMNO masih mengharapkan ia dikaji semula.