GELSENKIRCHEN, Jerman: Jurulatih England, Gareth Southgate sedia untuk berdepan reaksi negatif selepas satu lagi persembahan mengecewakan ditampilkan pasukannya yang bangkit dari ambang penyingkiran ketika menentang Slovakia untuk menempah tiket ke suku akhir Euro 2024, awal pagi tadi.
“Saya boleh bayangkan bagaimana reaksi semua orang biarpun kami menang, tetapi kami masih di sini,” kata Southgate.
“Kami mahu menjadi lebih baik, saya tidak boleh menafikannya. Tetapi semua orang dapat lihat semangat dan perwatakan yang ditunjukkan pemain.”
Selepas 94 minit permainan, England yang diletakkan sebagai pilihan kejohanan hampir tersingkir di tangan pasukan yang berada 40 tempat di bawah mereka dalam ranking dunia FIFA.
Bagaimanapun, jaringan akrobatik Jude Bellingham pada minit akhir dan tandukan Harry Kane awal pada awal masa tambahan berjaya menyelamatkan The Three Lions sekali gus membawa mereka ke suku akhir.
Keputusan Southgate berhubung pertukaran pemain menjadi persoalan, terutamanya ketika dia membawa masuk Ivan Toney pada minit ke-94.
Penyerang Brentford itu kelihatan marah dengan jurulatih berkenaan ketika bersiap sedia untuk masuk.
“Saya tahu Ivan Toney marah dengan saya, memasukkannya,” kata Southgate.
“Tetapi saya berkata kepadanya, ‘Ini mungkin saatnya.'”
Toney akhirnya membuat hantaran untuk gol kemenangan apabila dia menanduk bola untuk gol Kane.
Southgate membandingkan prestasi pemain gantiannya dengan kempen Piala Dunia 1966 England ketika Geoff Hurst tidak bermain sehingga suku akhir tetapi menjaringkan hatrik dalam kemenangan mereka menentang Jerman Barat di final, video yang ditunjukkan kepada pemain England sebelum perlawanan Ahad.
“Sepanjang masa pemain yang masuk ke dalam permainan memberikan impak yang besar,” kata Southgate tentang pemain gantiannya.
“Semua pemain yang masuk memainkan peranan penting sama ada dalam mencipta gol, menstabilkan permainan.
“Itulah semangat yang mereka ada dan mereka menunjukkannya dan itulah yang membuatkan kami berjaya hari ini.”
Southgate berkata pertahanan England lemah pada separuh masa pertama, dengan empat pemain belakang bergelut untuk membawa bola ke hadapan dan kekurangan pemain kaki kiri di bek kiri terus menimbulkan masalah dengan keseimbangan.
“Kieran Trippier (yang berkaki kanan) melakukan kerja yang luar biasa untuk pasukan,” kata Southgate.
“Masalah bermain melalui tekanan di bahagian tengah itu adalah masalah yang telah lama kami hadapi dan kami sentiasa cuba mencari cara taktikal untuk mengatasi masalah itu. Hari ini ia mengambil masa untuk diatur.”
Southgate turut memuji Bellingham yang tiba di Jerman dengan harapan besar daripada penyokong selepas musim cemerlangnya di Real Madrid.
“Dua gol yang sangat penting dalam kejohanan ini. Dia seorang pemain yang hebat. Dia melaksanakan tugasnya dengan sangat baik,” kata Southgate.
“Dan juga, dia tahu bahawa kami cuba membantunya mengharungi semua cabaran dan halangan yang dibawa oleh persekitaran pasukan kebangsaan, kerana ia adalah persekitaran yang berbeza.”
England akan menghadapi ujian lebih sukar di suku akhir apabila dijadual menentang Switzerland yang menyingkirkan juara bertahan, Itali, 2-0 awal pagi semalam.
“Saya rasa perlawanan menentang Switzerland akan memberikan masalah taktikal yang berbeza sepenuhnya, sama sukar dan kompleks,” kata Southgate.
“Dan kemudian penyelesaian yang berbeza untuk diselesaikan.” – REUTERS