KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat berhubung penyebaran beberapa gambar dikaitkan dengan jenazah kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang tular sejak semalam.
Media melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, satu laporan telah dibuat oleh pegawai penyiasat kes selepas penularan gambar itu yang disifatkan sebagai bahan bukti.
Difahamkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan iaitu pendedahan maklumat serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.
MalaysiaGazette pagi ini melaporkan gambar kecederaan yang didakwa sebagai Zayn Rayyan disebarkan di Telegram.
Gambar bertarikh 7 Disember 2023 berkenaan memaparkan keadaan tangan dan telinga ketika sesi proses bedah siasat.
Foto tangan menunjukkan dua kesan kelar manakala telinga pula memperlihatkan kesan dicederakan menggunakan peralatan tajam.
Sebelum ini, tular di media sosial apabila tangkap layar maklumat siasatan kes Zayn Rayyan tersebar.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, sekiranya ia kertas siasatan yang benar, pihak yang menyebarkannya perlu diambil tindakan berikutan kes berkenaan akan dibicarakan di mahkamah.
“Tindakan pihak-pihak tertentu memasukkan perkara seperti ini (kertas siasatan) dalam Telegram umpamanya, tidak diketahui sama ada maklumat itu (kertas siasatan) betul atau tidak, sama ada direka atau dibuat-buat,”katanya.
Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman di Damansara Damai dekat sini, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya.
Ibu bapa kanak-kanak malang itu kemudiannya ditahan pada 31 Mei lalu di sekitar Puncak Alam, Selangor dan direman selama 13 hari bermula 1 Jun lalu bagi membantu siasatan. -MalaysiaGazette