Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (kanan) dan Zayn Rayyan.
SHAH ALAM: Siasatan berkaitan penyebaran gambar memaparkan keadaan kecederaan pada mayat yang didakwa adalah Zayn Rayyan Abdul Matiin akan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihaknya sebelum ini menerima satu laporan berkaitan penyebaran gambar berkenaan yang dibuat oleh pegawai penyiasat kes pada 30 Jun lalu.
“Siasatan bagi kes ini mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan ia akan diteruskan siasatan oleh USJT Bukit Aman,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Ketika ditanya sama ada wujud pembabitan orang dalam berhubung penyebaran gambar tersebut, Hussein menegaskan perkara itu dalam siasatan polis.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya.
Pada 13 Jun lalu, ibu dan bapa Zayn Rayyan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara berkemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu.
22 dirakam percakapan kes keracunan makanan di Gombak
Dalam perkembangan lain, Hussein berkata 22 individu dirakam percakapan berhubung kes keracunan makanan di sebuah program sekolah agama di Gombak yang menyebabkan dua maut pada Jun lalu.
Katanya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk pandangan dan keputusan selanjutnya.