Undang-undang kawal selia pengendali media sosial mampu cegah jenayah dalam talian – Pakar

Ketika ini tiada undang-undang khas terhadap pengendali platform media sosial selain kerjasama dan budi bicara untuk menurunkan kandungan yang melanggar undang-undang Malaysia. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Media sosial sememangnya mempunyai kebaikan, namun platform itu juga mempunyai sisi gelap yang boleh memberi kesan buruk kepada kehidupan pengguna termasuk kerugian wang ringgit.

Menerusi platform media sosial, ramai yang menjadi mangsa penipuan dalam talian, buli siber, penyalahgunaan maklumat peribadi dan pelanggaran privasi malah kanak-kanak terdedah kepada pengantunan seksual atau ‘sexual grooming’ selain aktiviti persundalan dan penjualan kandungan lucah.

Penganalisis Keselamatan Siber Yayasan Digital Malaysia, Mohammad Ezaly Iman Ramli berkata, undang-undang bagi mengawal selia pengendali platform itu seperti Facebook, TikTok, X, Telegram dan WhatsApp wajar diwujudkan untuk memastikan kandungan serta hantaran yang menjurus kepada aspek jenayah misalnya penipuan, pembulian siber dan pengantunan kanak-kanak dapat dikawal.

Beliau berkata, dalam usaha mengawal selia pengendali platform media sosial, kerajaan perlu mengenal pasti tanggungjawab undang-undang yang harus dipikul pihak terbabit seperti mewajibkan mereka menolak dan menghalang sebarang iklan yang mempromosikan aktiviti menyalahi undang-undang, seperti judi dalam talian dan aktiviti pelaburan tidak wujud.

“Tindakan ini dapat menyelamatkan ramai pengguna media sosial daripada terjebak ke kancah jenayah dalam talian selain mencipta ekosistem media sosial yang selamat serta dapat digunakan oleh pelbagai peringkat umur,” katanya kepada Bernama.

Source :