Sumbangan disampaikan Ahmad Farhan ketika menziarahi Tan baru-baru ini. – Facebook Anwar
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada aktivis reformasi Tan Chee Hooi yang diuji masalah kesihatan, selain baru kehilangan anak sulung.
Anwar berkata sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik beliau Ahmad Farhan Fauzi yang mewakili beliau menziarahi Tan, atau lebih dikenali sebagai Tan Rambut Panjang dalam kalangan rakan aktivis, baru-baru ini.
“Tiga bulan lepas saudara Tan telah kehilangan anak sulungnya akibat sakit jantung.
“Malah saya juga dimaklumkan keadaan kesihatan beliau juga tidak begitu baik apabila menghidap penyakit darah tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berharap sumbangan yang disampaikan dapat meringankan beban kos perubatan dan kehidupan seharian Tan serta keluarga.
Perdana Menteri juga mendoakan supaya Tan diberi kekuatan dan kesihatan yang baik untuk meneruskan hidup bersama keluarga.