Putrajaya: “Saya merayu dengan rendah diri memohon pada sesiapa yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) membabitkan kemalangan maut di Jalan Labohan Dagang-Nilai pada 11 Jun lalu tampil memberi maklumat kepada polis,” kata isteri mangsa langgar lari, Nurul Izzati Zul.
Izzati, 33, dari Bangi berkata, arwah suaminya, Muzhaffar Omar, 35, yang menunggang motosikal dilanggar sebuah lori muatan sawit ketika dalam perjalanan pulang dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala.
Menurutnya, kelmarin dia hadir ke balai polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mendapatkan salinan laporan kemalangan untuk tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan kesal selepas mendapati laporan dibuat pemandu lori tidak sama dengan kenyataan dibuat saksi kejadian.
Katanya, dia ingin mengetahui kejadian sebenar dan memerlukan rakaman ‘dashcam’ bagi membantu siasatan pihak berkuasa sebagai pembelaan kepada arwah suami.
“Saya bingung kerana polis mahukan bukti rakaman ‘dashcam’ dan saya tidak mampu membayar kos peguam untuk membawa kes ini ke mahkamah. Saya berharap mereka yang mempunyai rakaman tampil membuat laporan,” katanya yang dikongsi di Facebooknya.
Pada 11 Jun lalu, Muzhaffar maut dalam nahas di Jalan Labohan Dagang-Nilai jam 3.50 petang ketika dalam perjalanan pulang.
Arwah yang meninggalkan dua cahaya mata dikebumikan keesokan harinya selepas proses bedah siasat di hospital di kampung halamannya di Felda Sungai Klah, Sungkai, Perak.
Izzati berkata, sebelum ini saksi kejadian ada berkongsi maklumat mengenai kemalangan menimpa suami dan laporan dibuat pemandu lori bercanggah dengan kenyataan saksi itu.
“Kejadian ini sangat meruntum jiwa saya kerana pada hari kejadian saya sudah mencetak sekeping gambar keluarga memakai pakaian sama warna dan meletakkannya di dalam bingkai, namun rasa terkilan kerana tidak sempat untuk menunjukkan kepada arwah.
“Gambar ini menjadi kenangan terakhir dan paling saya suka senyuman arwah sangat manis. Saya tidak menyangka ia menjadi petanda akan kehilangan suami tercinta buat selama-lamanya.”
“Saya reda dengan ketentuan Allah dan berharap sekiranya pemandu itu bersalah ia perlu dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.