Wajahnya nampak penat

Kuching: “Saya bukan berasal daripada keluarga senang, jadi saya faham perasaan pelanggan itu yang sanggup berkorban wang demi mahu tunaikan permintaan anak,” kata Aiman Abdul Hamid.

Aiman, 26, adalah pemilik sebuah kedai telefon bimbit di bandar raya ini yang menyaksikan pengorbanan seorang bapa datang ke premisnya bagi membeli telefon pintar buat anak perempuannya.

Menerusi video berdurasi satu minit 18 saat itu, kelihatan lelaki berkenaan meluahkan hasratnya membelikan telefon bimbit kerana enggan anaknya berkecil hati.

Lebih menyedihkan, skrin telefon bimbit lelaki itu juga sudah retak, tetapi lebih mendahulukan kehendak anaknya berbanding dirinya.

Video meraih lebih 400,000 tontonan itu menerima pelbagai reaksi dengan rata-rata warganet terharu dengan pengorbanan lelaki berkenaan buat anaknya.

Berkongsi kisah sebenar, Aiman berkata, video itu dirakam ketika pelanggan itu datang ke premisnya, jam 8 malam, 30 Jun lalu.

“Saya yang layan pelanggan berkenaan kerana kebetulan ada di kedai ketika itu.

“Pelanggan lelaki itu datang dengan ditemani isteri dan empat anaknya, termasuk yang perempuan seperti dalam video.

“Nampak mukanya (pelanggan lelaki) sangat penat tetapi gagahkan diri juga datang ke kedai saya untuk belikan anaknya telefon bimbit.

“Dia hendak beli telefon bimbit terpakai dan jika ikutkan, harganya RM950 namun saya jual RM900 saja kerana niat beri potongan harga RM50 boleh mereka gunakan untuk beli makanan selepas beredar daripada kedai,” katanya dihubungi Harian Metro.

Aiman berkata, detik paling menyentuh hatinya ketika mendengar luahan pelanggan berkenaan dan melihat riak wajahnya yang ikhlas memenuhi permintaan anaknya.

“Sebelum rakam, saya sudah minta izin dahulu dengan pelanggan itu dan waktu dia (pelanggan) cakap dengan anaknya, meleleh air mata saya.

“Sebak kerana saya sangat rapat dengan arwah ayah (Abdul Hamid Jaafar) dan teringat kasih sayangnya pada saya.

“Tambahan, ayah meninggal dunia akibat Covid-19 dan saya tidak dapat melihat jenazahnya buat kali terakhir serta ke majlis tahlilnya kerana dikuarantin ketika itu.

“Di ruangan komen pun, kebanyakannya luahkan rasa sedih menonton video yang saya muat naik malah ada cemburu kerana sudah tiada ayah dan teringat kenangan dengan bapa mereka,” katanya yang pernah bergelar pendidik selama setahun sebelum berhenti untuk memberi tumpuan kepada perniagaan.

Menurut Aiman, dia berharap remaja perempuan itu akan belajar bersungguh-sungguh sebagai tanda menghargai pemberian dan pengorbanan bapanya.

“Saya juga berharap dia menjadi anak yang baik buat ibu bapanya, sentiasa berbakti kepada orang tua dan jangan lupakan keluarga.

“Semoga sesiapa saja menonton juga dapat mesej positif daripada video saya kongsikan dengan ingat pengorbanan bapa serta cuba menjadi anak berguna tanpa abaikan pelajaran yang sangat penting dan menjadi pembuka jalan untuk kejayaan.

“Saya bercadang menziarah keluarga berkenaan dan memberi sedikit sumbangan serta telefon bimbit buat lelaki itu,” katanya yang kini memiliki tiga cawangan kedai telefon bimbit ‘Chegu Aiman Gadjet’ (CAG).

Source :