JOHOR BAHRU: Tanpa dibayar atau diberi ganjaran, sekumpulan pemuda dikenali Squad Johor Bersih (SJB) berganding bahu membersihkan longkang di bandar raya ini.
Mereka terdiri daripada lapan pemuda iaitu Mohd Karami Rashid, 35, Helmi firdaus Kasiron, 32, Haris Edris, 35, Mazlan Ahmat, 35, Mohd Fizie Mohd Khalid, 35, Shahrul Shahdan Mas Anton, 28, Abdul Rahman Syarifuddin, 30, dan Kamaruddin Suliman, 32,
Kisah mereka mendapat perhatian selepas seorang daripadanya, Mohd Karami memuat video aktiviti dilakukan mereka itu di TikTok dengan perkongsian terbaru meraih sehingga 1.2 juta tontonan.
Bercerita lanjut, Mohd Karami berkata, video berkenaan dirakam ketika dia dan rakannya melakukan kerja pembersihan longkang berhampiran susur keluar ke Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL), di sini.
Mohd Karami dari Kampung Bakar Batu, di sini berkata, aktiviti itu dilakukan bermula jam 9 pagi semalam dengan tujuan mengisi masa terluang pada hari cuti semalam dan membersihkan longkang di kawasan berkenaan yang ditakungi air.
“Saya dan rakan terbabit semuanya bekerja di syarikat pembersihan dekat Singapura dan kebetulan, kami cuti semalam jadi guna masa yang ada untuk bersihkan longkang itu.
“Kami pilih kawasan berkenaan kerana ia adalah kawasan kemalangan jadi bimbang air bertakung melimpah hingga laluan bertambah licin dan akhirnya membahayakan kenderan yang lalu di situ.
“Jadi dengan pengalaman kerja di negara jiran, kami sepakat lakukan aktiviti itu dan ambil masa satu jam setengah untuk bersihkan longkang berkenaan,” katanya.
Walaupun terdedah dengan kekotoran, Mohd Karami mengakui puas kerana dapat menjalankan aktiviti berkenaan sehingga selesai.
Menurut Mohd Karami, tiada istilah penat sebaliknya dia dan rakannya seronok melakukan kerja pembersihan daripada awal hingga akhir.
“Kami lakukan secara sukarela dan terdorong untuk buat kerana melihat kesungguhan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam menggerakkan dan melaksanakan inisiatif Johor Bersih.
“Sebenarnya, aktiviti semalam bukan yang pertama kerana sebelum ini kita pernah bersama Menteri Besar dalam program gotong-royong pembersihan di depan Pasar Borong Pandan, berhampiran jejambat Permas Jaya dan Tanah Perkuburan Islam Bakar Batu.
“Kini, sudah dua bulan juga saya dan rakan turun padang bagi melakukan kerja pembersihan tapi bukan setiap minggu sebaliknya pada hari cuti atau ada kelapangan saja,” katanya.
Berhubung perkongsian di TikTok, Mohd Karami berkata, niatnya adalah memberi kesedaran dan membuka mata semua pihak supaya sedar mengenai kepentingan menjaga kebersihan.
“Tak sangka boleh dapat perhatian malah ramai sokong dan ada juga samakan usaha kami dengan usaha kumpulan Pandawara dari Indonesia yang terkenal dengan aktiviti pembersihan sampah dan sungai kotor.
“Ada juga segelintir yang kecam tapi lebih ramai puji dan beri kata semangat.
“Terima kasih saya ucapkan dan aktiviti SJB akan diteruskan malah diharap masyarakat semua akan berganding bahu bawa perubahan dalam tahap kebersihan dan sistem perparitan.
“Kami pun akan terus menggerakkan aktiviti ini supaya Johor akan jadi negeri contoh dan ikutan yang lain,” katanya.