TUMPAT: Sepasang suami isteri disyaki penyeludup, ditahan pihak berkuasa bersama kereta yang diubah suai tangki untuk mengisi petrol tambahan bagi tujuan penyeludupan.
Mereka ditahan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Kampung Dusun Langgar, Wakaf Bharu pada jam 11 pagi semalam.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, berkata terdahulu pasukan itu mengekori kereta Perodua Kenari dinaiki suami isteri berusia 31 dan 33 tahun itu yang membuat pengisian petrol di sebuah stesen minyak dekat Pasir Pekan.
“Pasukan penguat kuasa mengekori kenderaan itu sehingga ia diparkir di hadapan sebuah rumah dekat Kampung Dusun Langgar.
“Terdapat seorang lelaki dan wanita dalam kereta itu yang mempunyai pertalian suami isteri dan pemeriksaan lanjut menemui 75 liter petrol dalam tangki yang diubahsuai.
“Siasatan lanjut mendapati pasangan suami isteri itu gagal mengemukakan sebarang lesen, permit atau surat kuasa berkait pemilikan minyak petrol yang dibawa bersama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Azman berkata, pihaknya percaya petrol itu akan dibawa ke pangkalan haram atau tebing sungai di Pengkalan Kubor untuk diseludup ke negara jiran.
Menurutnya lagi, petrol terbabit dirampas, manakala suami isteri itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“KPDN menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berkaitan dengan penyeludupan bagi membanteras kegiatan haram ini,” katanya.