BERLIN: Penentuan gelaran ‘Raja Eropah’ akhirnya mencapai kemuncak antara Sepanyol menentang England di Olympiastadion, di sini awal pagi esok.
Kedua-dua pasukan mengharungi perjalanan berbeza ke final dengan Sepanyol muncul satu-satunya gergasi yang memperagakan aksi konsisten dengan corak permainan yang mantap dan identiti yang jelas.
England pula bermula perlahan dan pemain bintang mereka menghasilkan persembahan yang terpuji bagi mendapatkan keputusan yang diperlukan untuk mara ke final kejuaraan Eropah buat kali kedua berturut-turut.
MENGAPA ENGLAND BOLEH MENANG?
England tampil dengan aksi terbaik mereka pada separuh akhir dan momentum itu pasti akan digunakan untuk aksi final selain mereka menunjukkan kemampuan untuk bangkit walaupun terlebih dahulu ketinggalan.
Pemain bintang mereka sudah mula menunjukkan keserasian dengan Kobbie Mainoo, Phil Foden dan Bukayo Saka menunjukkan kombinasi permainan yang menarik.
Jordan Pickford dan Marc Guehi juga menjadi antara pemain yang menyerlah untuk England dan di sebalik situasi yang kurang memberangsangkan pada peringkat awal, Gareth Southgate sudah menemui kestabilan dalam barisan pemainnya.
MENGAPA SEPANYOL BOLEH MENANG?
Mereka memenangi semua enam perlawanan mereka di Euro dan ia dilakar menerusi kemenangan ke atas tuan rumah, Jerman dan salah satu pasukan pilihan, Perancis di pusingan kalah mati.
Mereka meledak gol terbanyak (13), mencipta peluang terbanyak (96) dan bermain secara menyerang dengan kombinasi membabitkan penguasaan bola di bahagian sayap selain mampu mencetuskan masalah ketika melakukan transisi serta kerap menekan lawan.
Rodri mungkin dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Euro 2024 dan meskipun rekod tanpa kalahnya dalam 74 perlawanan bersama Manchester City berakhir apabila tewas pada final Piala FA, rutin kemenangannya berterusan bersama La Roja.
Tidak ramai yang menjangkakan Sepanyol boleh ‘meletup’ sebelum kejohanan bermula dan memenangi Euro 2024 seharusnya menjadi penutup paling gemilang buat mereka.
PEMAIN TUMPUAN ENGLAND
• Bukayo Saka
Ancaman terbesar England ketika menentang Switzerland dan juga Belanda selain bijak dari segi taktikal apabila England menggunakan taktikal hibrid.
England bertukar kepada lima pertahanan apabila tidak memegang bola dengan Saka berada di kawasan sayap belakang kanan namun kembali kepada empat pertahanan apabila menyerang dengan Saka beroperasi sebagai pemain sayap.
Memiliki kemampuan satu lawan satu yang baik dan Marc Cucurella harus berwaspada dengan gerakan pemain ini.
PEMAIN TUMPUAN SEPANYOL
• Dani Olmo
Bermula sebagai pemain simpanan namun kecederaan Pedri menyaksikan dia mengambil peluang ketika berdepan Jerman dengan meledak satu gol dan membantu mencipta satu lagi jaringan.
Meledak gol kemenangan ketika menentang Perancis dan menjadi pemain dengan sumbangan tertinggi di Euro 2024 – tiga gol dan dua bantuan gol.
Memiliki kebebasan untuk bergerak di hadapan Rodri dan Fabian Ruiz.