Halang laluan awam, 7 peniaga dikenakan tindakan DBKL

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan tindakan terhadap tujuh peniaga yang dikesan menjalankan perniagaan hingga menghalang tempat awam di Wangsa Maju, Khamis lalu.

DBKL menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, operasi tindakan khas pindah halangan ke atas premis dan penjaja itu dijalankan menerusi Jabatan Penguatkuasaan bersama Pejabat Cawangan Wangsa Maju.

Katanya, operasi itu dijalankan hasil daripada pemantauan dan rondaan yang dijalankan.

“Tujuh peniaga dikenakan tindakan pindah halangan di bawah Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 atas kesalahan meletakkan barangan yang berkaitan dengan perniagaan di tempat awam.

“Antara barangan yang disita adalah gerai, kanopi, meja lipat dan bangku,” katanya.

Katanya, semua barangan itu dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk tindakan rekod dan dokumentasi.

“Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti,” katanya.

Orang awam juga boleh menyalurkan maklumat di http://adukl.dbkl.gov.my.

Sementara itu, dalam satu lagi hantaran di Facebook, DBKL melalui Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran, Jabatan Perancangan Infrastruktur, Jabatan Pengangkutan Bandar dan Jabatan Integriti melaksanakan Tindakan Khas Kerja Korekan Jalan Awam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

Penguatkuasa DBKL memeriksa longkang yang dibuat penambahan binaan tanpa kelulusan dalam operasi khas, Jumaat lalu. - Foto media sosial DBKL
Penguatkuasa DBKL memeriksa longkang yang dibuat penambahan binaan tanpa kelulusan dalam operasi khas, Jumaat lalu. – Foto media sosial DBKL

Tindakan itu membabitkan Jalan Sungai Besi, Jalan Kuchai Lama, Jalan Syed Putra, Jalan Cheras, Jalan Raja Abdullah, Jalan Genting Kelang dan Jalan Kilang, Kuala Lumpur yang bermula pada jam 10.00 malam, Jumaat lalu dan berakhir jam 4.00 pagi Sabtu.

Menerusi pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan tindakan penguatkuasaan ke atas mana-mana individu atau kontraktor yang melanggar garis panduan bagi menjalankan apa-apa aktiviti membabitkan kerja korekan jalan seperti melakukan kerja pembaikan melebihi waktu yang ditetapkan, tidak meletakkan papan tanda isyarat lalulintas, menutup jalan tanpa kebenaran, melonggokkan sisa di atas jalan awam serta tidak mengutamakan kebersihan dan keselamatan di atas jalan awam.

Hasil daripada pemeriksaan di tujuh lokasi yang berbeza di sekitar WPKL, DBKL telah mengesan beberapa kesalahan yang melanggar SOP kerja korekan jalan dan mengeluarkan sebanyak 10 notis kesalahan am terhadap kontraktor.

Tindakan penguatkuasaan dilakukan menerusi kesalahan di bawah Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974 (lapan notis), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (satu notis) dan Undang-undang Kecil Pengangkutan Bahan (WPKL) 1997 (satu notis).

Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa di 11 kawasan parlimen di WPKL.