Jangan jadikan FELDA tempat berseteru, cetus perpecahan – Anwar

SERDANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu FELDA menjadi tempat yang mencetuskan perpecahan, benci-membenci dan perseteruan dalam kalangan warganya.

Perdana Menteri menegaskan, beliau mahu melihat FELDA menunjukkan teladan yang baik, termasuk dari segi tatakelola supaya dapat memberi contoh terbaik kepada semua.

Mengambil contoh peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW, beliau berkata nilai dan pengajaran yang tersemat dalam kejadian itu harus diambil dan dihayati, bagi membantu melakukan perubahan dalam FELDA, bukan mencakupi pihak pengurusan semata-mata tetapi juga peneroka.

Meneladani nilai dan pengajaran peristiwa itu, beliau berkata, ia membabitkan semua pihak dan tidak hanya mencakupi umat Islam semata-mata, tetapi juga orang bukan Islam, termasuk kelompok wanita dan golongan muda.

“Apakah ada semangat, nilai yang sama. Apakah ada pengurusan yang cemerlang, apakah ada semangat untuk bawa kebaikan kerana yang berlaku, (yang) tinggal adalah amalan lapuk, sikap lapuk. (Perlu) Tinggalkan kezaliman dan bawa perubahan.

“Hari ini saya pilih beri ucapan agak aneh. Bukan nak cerita (pasal) projek. Saya, menteri dan sampai kepada peneroka (FELDA) serta keluarga mereka, (harus) ada usaha lebih untuk santuni anak-anak muda kerana apabila kita berbicara, ia (mesti membabitkan) wanita, masyarakat dan semua orang.

“Mudah-mudahan kita dapat bawa perubahan ini kepada semua. Saya juga yakin Insya-Allah kalau kita ada kefahaman betul atau kalau FELDA berhasil betul-betul boleh jadi contoh terbaik… Bagaimana orang miskin diberi tanah dan diangkat martabat mereka. Ini martabat FELDA. Itu isyarat.

“Yang baik percayalah bukan saya mahupun (Ahmad) Zahid dan kawan-kawan dalam Kabinet akan bantu (buat perubahan) tetapi kesediaan mesti ada. Jangan jadikan FELDA tempat pecah-belah, (cetus) kebencian dan perseteruan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Peneroka FELDA 2024 peringkat kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lanjut perubahan yang dimahukan dalam FELDA, Perdana Menteri menegaskan agar perpindahan komuniti sebelum ini ke tanah rancangan kerajaan itu mesti menunjukkan keseimbangan yang baik.

Memberi contoh nilai yang perlu digarap semua pihak khususnya dalam FELDA, Anwar mahu semangat permuafakatan baik, bersih daripada najis dadah, pendidikan dan persekitaran kawasan lebih baik boleh memberi contoh baik kepada masyarakat bukan saja orang Islam bahkan bukan Islam.

“Kita ada (anjurkan) pesta (pada hari sambutan peneroka FELDA) tetapi saya nak ajak (semua) masing-masing merenung, kita boleh baiki (sikap),” katanya.