Semuanya serba tidak menjadi – Fandi

KUANTAN: Pengendali Sri Pahang FC Fandi Ahmad mengakui skuad itu gagal menyerap tekanan yang menyaksikan Negeri Sembilan FC (NSFC) membawa pulang tiga mata selepas tewas 0-3 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, semalam.

Kekalahan itu juga menyaksikan skuad Tok Gajah menghuni tangga ke-10 Liga Super apabila sekadar mengutip empat mata daripada empat perlawanan.

“Bagi saya, perlawanan hari ini (semalam) begitu sukar dan segalanya serba tidak menjadi Ketika pemain lawan lebih yakin untuk mencatat kemenangan.

“Pada babak pertama pemain gagal beraksi dengan baik dan tidak agresif untuk memberi tekanan kepada lawan yang menyebabkan Sri Pahang ketinggalan 0-1.

“Babak kedua pula pemain mempamerkan perubahan dan bermain lebih pantas tetapi tidak berupaya untuk menyekat Negeri Sembilan yang menyaksikan kita tewas 0-2 di halaman sendiri.

“Keseluruhannya, nasib tidak menyebelahi Sri Pahang kerana turut memiliki sekurang-kurangnya empat peluang untuk menghasilkan gol,” kata legenda bola sepak Singapura itu.

Fandi berkata, kekalahan itu juga lebih kepada kesilapan sendiri yang gagal tampil dengan lebih agresif ketika lawan jelas lebih berkeyakinan untuk mencatat kemenangan.

“Saya harap pemain tidak mengulangi kesilapan sama sebaliknya mempertingkatkan prestasi dan berada pada tahap lebih baik selepas ini,” katanya.

Pada perlawanan semalam, jaringan pemain tengah, R Barathkumar pada minit ke-24 dan Takumi Sasaki pada masa kecederaan di babak kedua memastikan pelawat membawa pulang tiga mata.