Trump gesa rakyat AS bersatu selepas cubaan membunuhnya

BUTLER: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa rakyat negara itu untuk bersatu selepas terbabit dalam kes cubaan membunuhnya, yang mengakibatkan beliau cedera di telinga.

Calon Republikan bagi pemilihan presiden AS pada November ini, yang kini berusia 78 tahun, ditembak ketika berucap pada perhimpunan kempen pilihan raya di Butler, Pennsylvania.

“Pada masa ini, adalah lebih penting untuk kita bersatu,” kata Trump dalam kenyataan di rangkaian Truth Socialnya, sambil menambah bahawa rakyat AS tidak seharusnya membenarkan kejahatan menang.

Lelaki bersenjata itu dikenali sebagai Thomas Matthew Crooks, 20, dari Bethel Park, Pennsylvania. Motif serangan bagaimanapun masih belum diketahui.

Presiden AS, Joe Biden, memendekkan hujung minggu di rumah percutiannya dan terbang kembali ke Washington untuk menangani krisis itu.

Pemimpin dunia mengutuk serangan itu, dengan Kremlin mengatakan tiada tempat untuk keganasan dalam politik.

Penembak itu dilaporkan adalah seorang penyokong Republikan berdaftar dan bekerja bersendirian.

Tragedi yang mengejutkan itu menimbulkan persoalan megenai keselamatan dan bagaimana calon presiden boleh disasarkan oleh lelaki bersenjata yang boleh sampai sehingga hanya sekitar 150 meter dari Trump.

Jurucakap Perkhidmatan Rahsia AS; Anthony Guglielmi menolak dakwaan bahawa ia menolak permintaan perlindungan tambahan untuk Trump sebelum perhimpunan itu.

Katanya, agensi itu sebenarnya sudah menambah sumber untuk perlindungan Trump.

FBI berkata, adalah mengejutkan bahawa lelaki bersenjata itu dapat melepaskan begitu banyak tembakan sebelum dikesan oleh penembak tepat.

Beberapa saksi berkata mereka melihat lelaki bersenjata itu dan memaklumkan pihak berkuasa.

Polis Butler berkata mereka sudah memberi maklum balas terhadap beberapa laporan mengenai aktiviti yang mencurigakan. – AGENSI