KUALA LUMPUR: Sabtu ini, laungan “Daulat Tuanku” bakal bergema lagi apabila Sultan Ibrahim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, di Istana Negara di sini.
Hari yang bertarikh 20 Julai 2024 ini akan terlakar dalam lipatan sejarah Malaysia sebagai “hari penegasan” bahawa sistem Raja Berperlembagaan kekal mendukung pentadbiran negara ini yang mengamalkan demokrasi berparlimen.
Kali pertama berlangsung pada 2 September 1957, istiadat pertabalan yang secara tradisinya diadakan setiap lima tahun, adalah peristiwa kenegaraan tertinggi buat Malaysia bagi menyempurnakan tuntutan Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan.
Antara lain, Perkara 32(1) itu memperuntukkan perlu ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, digelarkan Yang di-Pertuan Agong, yang kedudukannya mengatasi semua orang lain dalam Persekutuan.
Ringkasnya, Yang di-Pertuan Agong adalah ketua negara dengan kedudukan tertinggi bagi Malaysia, dan, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda mempunyai peranan yang sangat besar dalam kesemua tiga cabang utama negara – Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman – iaitu sebagai penyemak dan pengimbang.
SECARA BERGILIR
Dipilih menerusi undian dan secara bergilir dalam kalangan sembilan raja-raja Melayu oleh Majlis Raja-Raja yang diberi kuasa menerusi Perkara 32(2) Perlembagaan Persekutuan, Malaysia hingga kini menyaksikan pelantikan 17 raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Giliran bermula dengan Negeri Sembilan, diikuti Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.
Sejarah merekodkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama dan baginda memerintah dari 31 Ogos 1957 hingga kemangkatan baginda pada 1 April 1960.
Istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman – kini Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) – Jalan Ampang di sini, memandangkan Istana Negara belum ada ketika itu.
Berdasarkan sejarah, bangunan itu menyaksikan lima istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong dengan yang terakhir adalah pertabalan Sultan Kelantan Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong keenam pada 28 Februari 1976.
Sultan Selangor, Sultan Hisamuddin Agong 5 bulan
Juga tercatat dalam sejarah, Yang di-Pertuan Agong kedua Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah dari Selangor, hanya sempat bertakhta selama kira-kira lima bulan, iaitu dari 14 April 1960 hingga kemangkatan baginda pada 1 September tahun sama, iaitu hari pertabalan Seri Paduka Baginda.
Bermula 1980 hingga 2011, Yang di-Pertuan Agong bersemayam di Istana Negara, Jalan Istana di sini sebelum Istana Negara baharu siap dibina di Jalan Tuanku Abdul Halim.
Pemilihan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 oleh raja-raja Melayu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara pada 27 Oktober 2023.
Pelantikan Seri Paduka Baginda adalah bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang, yang tamat tempoh pemerintahan selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan 2024.
Perisytiharan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 berlangsung dengan penuh istiadat di Balairung Seri, Istana Negara pada 31 Januari lalu, yang turut menandakan bermula tempoh lima tahun pemerintahan Seri Paduka Baginda.
Menyusuli istiadat itu, bendera rasmi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan di Johor, iaitu kali kedua dalam tempoh hampir 35 tahun. Kali pertama adalah semasa Paduka Ayahanda Sultan Ibrahim, Almarhum Sultan Iskandar memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong kelapan dari 25 April 1984 hingga 25 April 1989.
Pelantikan Sultan Ibrahim ini juga bermakna pusingan kedua penggiliran raja-raja Melayu menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong hampir lengkap.
TIDAK LAPUK
Tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Di sebalik peredaran masa, adat istiadat pertabalan Ketua Utama Negara ini yang sudahpun berusia hampir 67 tahun, kekal mapan, baik dari segi perjalanan istiadat ataupun alat-alat kebesaran yang digunakan.
Alat-alat kebesaran pertabalan
Menurut Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, alat-alat kebesaran yang akan digunakan pada pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 ini adalah yang sama digunakan dalam pertabalan-pertabalan sebelum ini, iaitu sejak pertabalan Yang di-Pertuan Agong pertama.
“Ini adalah satu nilai yang penting… kita masih memelihara ketinggian warisan kebudayaan dan adat istiadat di negara kita. Sejak digunakan pada istiadat pertabalan pertama, alat-alat kebesaran itu dipelihara dan kini akan digunakan lagi pada istiadat (pertabalan Yang di-Pertuan Agong) ke-17 ini,” katanya.
“Sejak negara kita ini ditubuhkan (merdeka) hingga sekarang, kita tidak pernah putus (terhenti) melaksanakannya (istiadat pertabalan),” tambah beliau.
Selain itu, perkembangan teknologi, khususnya teknologi maklumat, juga tidak menggugat aspek ketertiban dan kesantunan dalam istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 ini.
Aspek ini dapat dilihat, antaranya menerusi warkah persilaan, iaitu undangan ke istiadat pertabalan, yang kekal ditulis tangan dalam huruf Jawi, dan persis zaman kesultanan Melayu dahulukala, warkah persilaan itu dihantar oleh utusan, bukan menggunakan perkhidmatan pos atau perkhidmatan kiriman cepat.
“Warkah diletak di dalam kapsul (skrol) dan dipersembahkan terus kepada Raja-raja, Yang Dipertua Negeri serta kerabat diraja luar negara. Rombongan utusan ini diketuai oleh Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong ke-17 Fahmi Fadzil (yang juga Menteri Komunikasi).
“Malah, satu perkara yang istimewa, Seri Paduka Baginda berkenan mempersembahkan sendiri warkah persilaan itu kepada Paduka Seri Sultan Brunei Darussalam, menunjukkan keakraban hubungan persaudaraan raja-raja Melayu,” kongsinya.
SENTUHAN PERIBADI
Menurut Azuan Effendy, sekalipun tidak ada tokok tambah ataupun pembaharuan pada istiadat pertabalan yang dilangsungkan, setiap satu tetap mempunyai keunikan tersendiri menerusi sentuhan peribadi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ketika itu.
Pada istiadat kali ini, warna kegemaran Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofia, iaitu Tiffany Blue (seakan-akan warna firus namun lebih kebiruan), disepadukan dalam elemen-elemen tertentu bersama-sama warna kuning diraja dan biru diraja Johor.
Selain itu, Seri Paduka Baginda juga berkenan terlibat secara langsung dalam beberapa perkara, termasuk memilih sendiri reka hias bagi cenderamata pertabalan dan pingat pertabalan yang akan diberikan kepada jemputan.
“Sultan Ibrahim mengutamakan corak bunga raya yang membawa simbolik Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Negara Malaysia, sekalipun pada lambang Diraja Johor ada motif tumbuhan lada (dan gambir),” jelas beliau.
(Bunga raya adalah bunga kebangsaan Malaysia yang diisytiharkan oleh Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 28 Julai 1960)
MAJLIS TAHLIL PEMULA ISTIADAT
Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan dimulakan dengan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat yang dijadualkan berlangsung esok (18 Julai) di Masjid Negara.
“Majlis ini juga ada simboliknya, iaitu kita menyerahkan kepada Allah Yang Maha Esa agar segala persiapan dan perjalanan istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda berlangsung dengan sempurna.
“Keesokannya pada hari Jumaat, kita ada Khutbah Khas dan Solat Jumaat di Masjid Negara. Teks khutbah ini adalah tentang kedaulatan Yang di-Pertuan Agong sebagai panduan kepada rakyat jelata akan pentingnya institusi Agong, institusi Raja Berperlembagaan untuk terus kekal di negara ini,” katanya.
Menurut beliau, teks khutbah itu akan dibaca di semua masjid di Wilayah Persekutuan serta negeri-negeri tidak beraja, manakala di negeri beraja pula tertakluk kepada perkenan sultan masing-masing.
700 tetamu istiadat pertabalan
“Majlis Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda akan bermula pada 9.15 pagi Sabtu di Istana Negara dan dijangka dihadiri oleh kira-kira 700 tetamu termasuk raja-raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Jemaah Menteri, komuniti diplomatik asing di negara ini serta pemimpin-pemimpin utama negara,” katanya.
Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa juga dijangka berangkat hadir.
Pada sebelah malam, akan diadakan Majlis Santapan Diraja di Istana Negara.
Acara lain adalah Lawatan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofia ke Hospital Orang Asli di Gombak, Selangor yang akan berlangsung pada 23 Julai.
Menyusul pada 25 Julai adalah Pameran Raja Kita yang akan diadakan di Muzium Negara, di mana rakyat berpeluang melihat secara dekat segala aspek berkaitan Seri Paduka Baginda berdua, termasuk pameran koleksi barangan peribadi Sultan Ibrahim.
Menutup tirai istiadat adalah Jamuan Teh Diraja yang akan diadakan pada 27 Julai di Istana Negara, sekali gus lengkaplah atur cara yang direncanakan bermula dari tarikh perisytiharan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.
Jelas Azuan Effendy, lebih 2,000 petugas merentasi pelbagai agensi terlibat dalam upacara gilang-gemilang tersebut, kerana: “Istiadat pertabalan ini adalah untuk diri kita, untuk negara kita, …yang melonjakkan negara kita.
“Kita nak pertontonkan (kepada dunia) bahawa kita sebuah negara yang mempunyai identiti, mempunyai sejarah yang panjang dari segi sejarah warisan kesultanan Melayu, sebuah negara bertamadun dan beradat,” tegasnya. – BERNAMA