BERLIN: Lamine Yamal menewaskan Jude Bellingham apabila jaringannya dinobat sebagai Gol Terbaik Kejohanan dalam penampilan sulungnya bersama Sepanyol pada Euro 2024.
Bintang remaja berusia 17 tahun itu menikmati kejohanan mengagumkan di Jerman sebagai sebahagian daripada skuad Sepanyol kendalian Luis de la Fuente dan mengakhiri final di Berlin awal pagi kelmarin sebagai satu daripada permata baharu kejohanan.
Lulusan akademi La Masia itu dinamakan sebagai Pemain Muda Terbaik Euro 2024 susulan sumbangannya kepada La Roja, selain menjulang trofi selepas menundukkan England 2-1 di Olympiastadion.
Pemain sayap Barcelona itu menokok satu lagi penghormatan dalam senarainya, dengan gol yang menjadikannya pemain paling muda menjaringkan gol dalam sejarah Euro pada usia 16 tahun dan 362 hari.
Jaringan Yamal itu membantu Sepanyol menyamakan kedudukan menentang Perancis pada separuh akhir, dengan pemain muda itu merembat kencang dari luar kotak penalti menerusi tendangan yang melencong melepasi jangkauan penjaga gol Mike Maignan.
La Roja menang perlawanan itu 2-1 untuk ke final bertemu England, dengan Yamal mengumpan kepada rakan sepasukan Nico Williams untuk meletakkan mereka di depan dua minit selepas rehat.
Gol Yamal itu mewakili satu lagi kemenangan ke atas naib juara England, dengan jaringan sepakan gunting Bellingham menentang Slovakia hanya berada di tangga kedua senarai yang diputuskan oleh pemerhati teknikal Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).
Ahli pasukan teknikal itu termasuk Ole Gunnar Solskjaer, David Moyes, Fabio Capello dan Rafael Benitez memilih gol pemain tengah England itu di tangga kedua dengan gol Xherdan Shaqiri menentang Scotland dinobat ketiga terbaik.
Penyerang itu – yang bersara daripada kancah bola sepak antarabangsa selepas Switzerland disingkirkan oleh England menerusi penentuan sepakan penalti pada suku akhir – muncul sebagai satu-satunya pemain yang menyumbat gol dalam tiga Piala Dunia terakhir dan tiga Euro terakhir. – AGENSI