Anugerah Kelestarian dan CSR pencetus anjakan paradigma khidmat sosial

KUALA LUMPUR: Anugerah Kelestarian dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Malaysia 2024 menjadi pencetus anjakan paradigma dalam pendekatan khidmat sosial di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata anugerah itu jelas sekali bagi mengiktiraf pencapaian syarikat yang berjaya melaksanakan inisiatif CSR dengan cemerlang.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata pengiktirafan berkenaan diharap dapat menunjukkan tanggungjawab sosial bukanlah sekadar tambahan kepada operasi perniagaan, tetapi komponen penting yang seharusnya menjadi sebahagian daripada strategi utama setiap syarikat.

“Dengan penganjuran anugerah berkenaan, kita juga berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih banyak syarikat untuk mempraktikkan CSR.

“Kami percaya bahawa apabila lebih banyak syarikat mengamalkan tanggungjawab sosial, kita akan dapat melihat perubahan positif yang ketara dalam masyarakat,” katanya berucap dalam Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2024, di sini, malam ini.

Noraini berkata, CSR bukan saja memberi manfaat kepada komuniti, tetapi juga memperkukuhkan reputasi dan kelestarian jangka panjang syarikat itu sendiri.

“Selain itu, hubungan erat antara kerajaan dan sektor korporat adalah amat penting untuk mencapai keseimbangan dalam pembangunan ekonomi.

“Tidak dinafikan, kerajaan memerlukan sokongan daripada syarikat-syarikat untuk melaksanakan dasar-dasar yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi terutama dalam kalangan golongan sasar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sebagai balasan, sektor korporat mendapat manfaat daripada dasar terbabit melalui pelbagai insentif dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

“Hubungan berkenaan bagi memastikan kedua-dua pihak dapat bekerjasama dalam mencapai matlamat bersama, iaitu demi kemakmuran negara.

“Syarikat-syarikat swasta dan korporat juga memainkan peranan penting dalam membawa perubahan positif kepada masyarakat.

“Mereka bukan saja bertanggungjawab untuk menjana keuntungan, tetapi juga perlu memikul tanggungjawab sosial mereka,” katanya.