Arab Saudi hukum mati lebih 100 individu

DUBAI: Arab Saudi menjalankan hukuman mati terhadap dua pesalah yang disabitkan dengan jenayah pengedaran dadah, kata Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Menurut statistik AFP, ia menjadikan jumlah keseluruhan hukuman mati yang dijalankan pada tahun ini membabitkan sekurang-kurangnya 106 pesalah.

Agensi media rasmi Arab Saudi dalam laporannya berkata, kementerian itu mengumumkan seorang rakyatnya dihukum bunuh kerana mengedar amphetamine, manakala seorang lagi pesalah warga Pakistan mengedar dadah jenis heroin, kedua-duanya di Makkah.

Pihak berkuasa Arab Saudi melaksanakan semula hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah pada penghujung 2022 selepas ia dihentikan hampir tiga tahun.

Menurut statistik AFP, tujuh daripada 106 hukuman mati yang direkodkan tahun ini berkaitan kes dadah.

Sepanjang 2023, pihak berkuasa menjalankan hukuman mati ke atas sekurang-kurangnya 170 orang, termasuk 33 individu yang dituduh melakukan jenayah berkaitan keganasan.

Untuk rekod, sehingga Julai tahun lalu, negara Teluk itu menjalankan hukuman mati ke atas sekurang-kurangnya 74 orang pesalah.

Isnin lalu, Pertubuhan Hak Asasi Manusia Eropah-Arab Saudi yang berpangkalan di Berlin mengutuk Arab Saudi kerana menjalankan satu hukuman mati hampir setiap dua hari.

“Sejumlah 100 hukuman mati dalam tempoh 196 hari menunjukkan kerajaan Arab Saudi bertegas mahu menjalankan hukuman mati secara meluas sekali gus melanggar undang-undang antarabangsa dan komitmen rasminya,” katanya dalam satu kenyataan.