GAZA: Israel meningkatkan serangan udara ke atas Gaza selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berikrar mahu memusnahkan Hamas, sekali gus menghapuskan
sebarang harapan bagi gencatan senjata.
Netanyahu, yang berulang kali berikrar menghapuskan Hamas, menegaskan walaupun tekanan antarabangsa semakin meningkat, dia tidak akan menghentikan kempen Israel menentang Hamas.
“Ini adalah masa yang tepat untuk meningkatkan tekanan dan membawa pulang semua tebusan yang hidup atau mati serta mencapai semua objektif perang iaitu menghapuskan Hamas sama sekali.
“Mereka (Hamas) sudah dalam genggaman dan kita berada di jalan menuju kemenangan mutlak,” katanya ketika membentangkan perkara itu dalam ucapan kepada Parlimen.
Pemimpin politik Hamas, Ismail Haniyeh, menuduh Israel sengaja menjejaskan rundingan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan kerana tidak mahu menamatkan perang.
“Kami berurusan secara positif dengan cadangan yang dikemukakan oleh pengantara tetapi Israel mengelak keputusan yang diperlukan dan tidak mahu mencapai persetujuan untuk menamatkan perang,” katanya.
Tentera Israel berkata ia sudah melakukan 25 serangan dalam masa 24 jam, menyasarkan ‘struktur tentera, infrastruktur ‘pengganas’, sel ‘pengganas’ dan bangunan sementara.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata 52 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam tempoh 24 jam akibat serangan terbaharu Israel itu, yang mendakwa mereka digunakan sebagai ‘perisai manusia’ oleh Hamas.
Agensi pertahanan awam wilayah itu berkata, 30 orang terbunuh dalam tiga serangan di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza, sebuah sekolah dikendalikan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), selain sebuah rumah dan masjid.
Semalam, ia melaporkan 15 kematian di seluruh Gaza akibat tindakan Israel, manakala kementerian kesihatan melaporkan tiga kanak-kanak dan seorang wanita terbunuh berhampiran Khan Younis.
Di selatan Gaza, dua orang terbunuh dalam pengeboman Israel di kawasan Shakush, barat laut Rafah, menurut sumber perubatan di Hospital Nasser.
Washington mendesak perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas sejak Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengeluarkan butiran pelan tindakan gencatan senjata Israel pada 31 Mei lalu, yang disyorkan Israel sendiri.
Bagaimanapun, meskipun negara pengantara Mesir dan Qatar berusaha keras, rundingan tidak langsung antara kedua-dua pihak menemui jalan buntu.
Dalam panggilan telefon Selasa lalu, Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, berkata pemimpin Hamas menyalahkan Israel atas kebuntuan itu. – AFP