‘Saya tak nak minta ampun, saya minta hukum gantung sampai mati sahaja’

JOHOR BAHRU – “Saya tak nak minta ampun, saya minta hukum gantung sampai mati sahaja. Terima kasih,” ujar Quah Tee Keon, 56, dalam prosiding kesnya di Mahkamah Persekutuan yang bersidang, di sini, hari ini.

Warga negara Singapura itu menolak permohonan membuat rayuan sebaliknya mahu kekal dihukum mati atas kesalahan membunuh teman lelaki isterinya yang merupakan seorang warga China di Pahang, pada 2013.

Tee Keon turut didakwa menikam isterinya sehingga mendatangkan kecederaan dengan mengetahui tindakan itu boleh menyebabkan kematian.

Persidangan itu dibarisi panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.

Sehubungan itu, peguam pemohon, Bernard George membuat permohonan rasmi kepada mahkamah untuk menarik semula semakan permohonan hukuman mati dihadapi anak guamnya.

Tengku Maimun kemudian memerintahkan bahawa hukuman gantung sampai mati kekal dan permohonan semakan dibatalkan.

Tee Keon yang ditahan setelah menyerahkan diri kepada pihak polis di Kuala Lumpur pada 28 Oktober 2013 sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada mahkamah kerana membenarkan permohonannya itu.

Berdasarkan fakta kes, Tee Keon membunuh seorang lelaki bernama Ruan Chao Qiang di sebuah kediaman di Taman Mawar Indah, Triang, Bera, kira-kira pukul 3.30 pagi pada 13 Oktober 2013.

Tee Keon turut mencederakan isterinya menggunakan pisau sehingga menyebabkan wanita itu mengalami pelbagai kecederaan pada bahagian leher, tangan dan belakang badan di lokasi dan waktu sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ng Siew Wee. – MalaysiaGazette

Source :