Polis cari pemandu e-hailing hilang

AMPANG – Polis menagih kerjasama dan bantuan orang ramai mengesan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar meninggalkan kediamannya di Ampang Jaya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya pada 14 Julai lalu menerima laporan bersabit kehilangan lelaki berkenaan yang merupakan pemandu e-hailing,Syahrul Asyraf Dahlan.

“Kali terakhir beliau dapat dihubungi oleh ahli keluarganya yang tinggal di Melaka adalah melalui panggilan telefon semasa beliau sedang bekerja memandu kenderaan bernombor pendaftaran VCE 4826 jenis Proton Persona berwarna coklat pada 12 Julai lalu.

“Justeru, ahli keluarga mangsa juga memaklumkan kepada pihak kami bahawa 3 Julai 2024 merupakan kali terakhir orang hilang itu menetap di rumah salah seorang ahli keluarga yang berada di kawasan Pandan Jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Azam, menurut ahli keluarga mangsa, Syahrul Asyraf tinggal di sekitar kawasan Lembah Klang dan hanya tidur di dalam kereta Proton Persona berwarna coklat sejak beliau bekerja sebagai pemandu e-hailing di bawah syarikat tempatan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di talian 03-42524866.- MalaysiaGazette