Biden tarik diri pemilihan Presiden AS

WASHINGTON- Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, menarik diri daripada perebutan jawatan presiden dan mengesahkan Naib Presidennya, Kamala Harris, sebagai calon Parti Demokrat.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di aplikasi X, Biden berkata, beliau mengambil tindakan itu demi kepentingan parti dan negara.

“Keputusan pertama saya sebagai calon parti pada 2020 adalah untuk memilih Kamala Harris sebagai Naib Presiden dan itu adalah keputusan terbaik yang saya pernah lakukan.

“Hari ini, saya ingin menawarkan sokongan penuh dan mengesahkan Kamala bakal menjadi calon untuk parti kita tahun ini.

“(Ahli-ahli) Demokrat- sudah tiba masanya kita bersatu hati dan mengalahkan Trump. Mari lakukannya!,” katanya di dalam hantaran tersebut.

Menurut laporan Anadoulu, Biden akan berucap dengan lebih terperinci mengenai keputusannya kepada rakyat akhir minggu ini.

Pencalonannya menjadi tumpuan berikutan prestasi buruk beliau menentang bekas Presiden, Donald Trump dalam debat presiden akhir bulan lalu.

Sementara itu, Harris dalam satu kenyataan berkata, dia berbesar hati mendapat sokongan Biden, sambil menambah niatnya adalah untuk mendapatkan dan memenangi pencalonan itu.

“Sepanjang tahun lalu, saya sudah mengembara ke seluruh negara, bercakap dengan rakyat Amerika mengenai pilihan jelas dalam pilihan raya penting ini.

“Itulah yang akan saya lakukan dalam beberapa hari dan minggu akan datang.

“Saya akan melakukan segala-galanya untuk menyatukan Parti Demokrat dan negara untuk mengalahkan Donald Trump dan agenda Projek 2025 yang melampau,” katanya.

Tambahnya, ada tempoh 107 hari lagi menjelang pilihan raya.

“Bersama-sama, kita akan berjuang. Dan bersama-sama, kita akan menang,” katanya.- Agensi

Source :