PARIS: Kejohanan Bolasepak Eropah (Euro) dan Copa America 2024 sudah berakhir namun masih ada pertandingan bola sepak antarabangsa yang mampu mencuri tumpuan iaitu di Sukan Olimpik 2024.
Pertandingan bola sepak di Paris akan membuka tirainya Rabu ini dengan perlawanan berlangsung di tujuh bandar raya sekitar Perancis dan final akan berlangsung di laman Paris Saint Germain (PSG), Parc des Princes.
Skuad Olimpik dibarisi oleh pemain berusia bawah 23 tahun (B-23) dengan tiga pemain lebih usia dibenarkan.
Berikut adalah antara pemain terkemuka yang akan beraksi di Sukan Olimpik kali ini.
1. Julian Alvarez (Argentina)
Masih segar dengan kejayaan di Copa America, Argentina menjadi pasukan pilihan untuk memenangi pingat emas di Paris.
Bersama Nicolas Otamendi dan Geronimo Rulli, Alvarez menjadi salah seorang pemain lebih usia dipanggil Javier Mascherano dalam misi memburu pingat emas ketiga di Olimpik.
Alvarez akan terlepas jelajah pramusim Manchester City di Amerika Syarikat dan aksi Piala Perisai Komuniti menentang Manchester United yang berlangsung sehari selepas perlawanan final.
ADVERTISING
2. Alexandre Lacazette (Perancis)
Lacazette dipilih sebagai kapten Perancis oleh Thierry Henry untuk aksi Olimpik di tempat sendiri.
“Kami mempunyai cita-cita yang sama untuk mara sejauh mungkin dan memenangi pingat. Apatah lagi ia berlangsung di tanah air kami, jadi ini satu motivasi yang besar,” kata pemain berusia 33 tahun itu.
Henry turut memanggil pemain Sevilla, Loic Bade dan penyerang Crystal Palace, Jean-Philippe Mateta selepas impian Perancis memanggil Kylian Mbappe tidak berjaya kerana dihalang Real Madrid.
3. Achraf Hakimi (Maghribi)
Pemain berusia 25 tahun ini akan terlepas persiapan pramusim PSG untuk membantu Maghribi yang akan beraksi di Sukan Olimpik buat kali kelapan.
Meskipun dia gagal menyempurnakan dua penalti pada aksi persahabatan menentang kelab Perancis, Villefranche, khidmatnya ditagih untuk membawa Singa Atlas mara ke final di Parc des Princes.
Anak buah Tarik Sektioui itu layak ke Sukan Olimpik selepas menjuarai Piala Negara-Negara Afrika 2023.
4. Fermin Lopez (Sepanyol)
Bersama-sama Alex Baena, Fermin Lopez adalah antara pemain dalam skuad juara Euro 2024 yang akan beraksi di Olimpik.
Pemain sayap itu hanya beraksi sekali untuk skuad Luis de La Fuente di Jerman namun menyertai rakan sepasukan di Barcelona, Pau Cubarsi dan Eric Garcia dalam skuad Olimpik.
Lopez dan Baena berpeluang mencipta sejarah sebagai pemain pertama memenangi Euro dan pingat emas Sukan Olimpik dalam musim panas yang sama.
5. Naby Keita (Guinea)
Bekas pemain Liverpool ini akan mengetuai Guinea pada penampilan kedua mereka di Olimpik.
Pemenang Liga Juara-Juara itu mengharungi musim pertama yang buruk bersama Werder Bremen apabila hanya beraksi dalam lima perlawanan susulan kecederaan dan penggantungan.
Pemain berusia 29 tahun ini menjadi antara nama besar di Olimpik dan mahu menambah jumlah jaringannya selepas meledak 11 gol untuk negaranya. – AGENSI