SPRM tahan 2 penjawat awam disyaki terima rasuah RM10,000

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menahan dua penjawat awam, hari ini, kerana disyaki menerima rasuah sebanyak RM10,000.

Sumber SPRM berkata, dua suspek lelaki itu membabitkan masing-masing seorang pegawai dan pembantu am di sebuah agensi kerajaan negeri di Tanah Merah.

“Kedua-dua suspek berusia 33 dan 49 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM Kelantan selepas selesai memberi keterangan pada jam 4.30 petang tadi.

“Beberapa hari lalu, SPRM menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 60-an berkaitan kes itu di Tanah Merah,” katanya kepada Bernama.

Menurut sumber itu lagi, berdasarkan laporan, lelaki itu mendakwa menyerahkan wang RM10,000 kepada suspek pada awal bulan ini bagi melepaskan mesin kerja-kerja hutan yang ditahan.

Sementara itu Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua lelaki terbabit.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu untuk permohonan reman, esok. – BERNAMA