KUALA LUMPUR: Polis Perlis selesai merakam keterangan seorang peguam yang disiasat berhubung ucapannya dalam satu himpunan di Putrajaya, di sini baru-baru ini yang didakwa berbaur hasutan.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim, ketika dihubungi BH hari ini mengesahkan perkara itu dan berkata, siasatan ke atas peguam terbabit dilakukan susulan satu laporan polis yang diterima pada 3 Julai lalu.
“Kita terima satu laporan polis terhadap peguam terbabit pada 3 Julai lalu di Kangar (Perlis).
“Berikutan itu, kita jalankan siasatan dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar ke Bukit Aman, hari ini untuk merakam keterangan peguam terbabit,” katanya.
Katanya, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Difahamkan, siasatan berkaitan ucapan peguam terbabit pada Himpunan ‘Demo Rakyat Lawan Anwar’ pada 29 Jun lalu di tempat letak kereta di luar Kompleks Seri Perdana iaitu kediaman rasmi Perdana Menteri.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa sebelum ini dilaporkan berkata himpunan itu tidak mendapat kebenaran Perbadanan Putrajaya selaku pemilik tanah.
Pihaknya juga sudah menasihatkan penganjur tidak meneruskan perhimpunan selain turut menerima 85 laporan polis berkait penularan video berdurasi tiga minit 41 saat di aplikasi TikTok yang mengajak orang ramai menyertai perhimpunan berkenaan.
Sementara itu, peguam yang juga penasihat undang-undang himpunan terbabit, Rafique Rashid Ali mengesahkan disiasat polis berhubung satu ucapannya pada himpunan itu.
Beliau yang ditemui pemberita selepas selesai proses rakam keterangan di Bukit Aman, hari ini berkata berkata proses itu berlangsung kira-kira 45 minit bermula jam 12 tengah hari tadi.
Katanya, beliau memberi kerjasama penuh kepada siasatan polis dan menjawab 12 hingga 13 soalan yang diajukan pegawai penyiasat pada proses rakam keterangan itu.