CHUKAI: Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini mengarahkan seorang wanita yang dituduh mencederakan anaknya pada 13 Julai lalu untuk menjalani pemeriksaan mental.
Keputusan itu dibuat Hakim, Wan Suhaila Mohd, ke atas tertuduh, Norulhuda Sofia Muda, 26, yang sebelum itu mengaku bersalah sebanyak dua kali, namun ditolak mahkamah selepas membuat penilaian awal terhadap keadaan suspek sepanjang prosiding berlangsung.
Terdahulu, keadaan tertuduh yang beremosi dan seolah-olah tidak memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan hakim menyebabkan prosiding ditangguh sebanyak dua kali.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan penganiayaan dengan menyebabkan anak perempuannya yang berusia enam tahun cedera fizikal dengan cara menarik rambut dan kepala serta mengangkat badannya lalu menghayun kanak-kanak itu keluar menerusi tingkap sehingga terjatuh ke atas tanah di rumahnya dekat Kampung Air Jabor Kubur di sini, pada jam 2 petang, 13 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Justeru, Timbalan Pendakwa Raya Syariah Mohamad Razali memohon kepada mahkamah agar tertuduh menjalani pemeriksaan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah kerana wanita itu disyaki tidak sempurna akal.
Peguam, Akmal Wahidah Abd Halim, dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh kemudian menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk tertuduh menjalani pemeriksaan tersebut.
Hakim kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi memastikan keadaan tertuduh semasa kejadian tersebut berlaku dan membolehkan Norulhuda Sofia memahami pertuduhan bagi sebutan semula kes yang ditetapkan pada 20 Ogos ini. – BERNAMA