Israel arah rakyat Palestin pindah dari sebahagian zon kemanusiaan Gaza

TEL AVIV – Penduduk Gaza di kawasan yang dahulunya menjadi ‘zon kemanusiaan’ untuk pelarian kini sekali lagi diarahkan untuk berpindah.

The Times of Israel melaporkan, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah mengeluarkan arahan tersebut mendakwa, banyak serangan roket ke atas selatan Israel dalam beberapa minggu kebelakangan ini dari zon kemanusiaan

Kawasan yang terlibat termasuk bahagian timur zon kemanusiaan yang terletak di Khan Younis dan kawasan tersebut dianggap berbahaya.

Menurut IDF, amaran awal dikeluarkan bertujuan untuk mengurangkan bahaya kepada orang awam.

“IDF akan bertindak secara paksa terhadap Hamas dan oleh itu menyeru penduduk yang tinggal di kawasan kejiranan timur Khan Younis untuk berpindah sementara ke kawasan kemanusiaan yang disesuaikan di al-Mawasi,” kata tentera.

Arahan IDF kepada orang awam sedang disampaikan melalui mesej SMS, panggilan telefon dan siaran media lain.Sumber tentera berkata, hospital di kawasan terbabit tidak perlu berpindah, dan IDF telah memaklumkan perkara ini kepada pegawai kesihatan Palestin dan pegawai dalam masyarakat antarabangsa.

Katanya, pelarasan kepada zon itu sedang dijalankan “mengikut risikan tepat” yang menunjukkan bahawa Hamas telah bertapak di zon kemanusiaan.

Media Israel itu turut melaporkan, jet pejuang dan dron Zionis menyerang lebih 35 sasaran di Semenanjung Gaza sepanjang beberapa hari lalu.

Sasaran termasuk pelancar roket utama di selatan Gaza Khan Younis, bangunan yang digunakan oleh kumpulan Hamas dan infrastruktur lain.

Sepanjang beberaa hari lalu, IDF berkata tentera dengan Briged Berperisai ke-401 membunuh berpuluh-puluh lelaki di kejiranan Tel Sultan barat laut Rafah, dalam pertempuran jarak dekat dan serangan udara.

Tentera Briged Givati ​​juga membunuh beberapa lagi lelaki semasa operasi di Rafah, kata IDF.

Sementara itu, di tengah Gaza, IDF berkata pasukan simpanan Briged Alexandroni membunuh beberapa lagi pejuang Palestin.-Agensi

Source :