Guru didakwa lakukan kekerasan jenayah terhadap budak autistik

PETALING JAYA – Seorang guru didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap seorang kanak-kanak autistik di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Thinesh Manickam, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhannya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa.

Mengikut fakta pertuduhan, pada pertengahan Julai lalu, individu itu telah didapati menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang kanak-kanak berusia enam tahun.

Thinesh didakwa melakukan kesalahan itu pada 16 Julai lalu pukul 11.50 pagi di dalam kelas Pusat Jagaan Kanak-Kanak Istimewa di Plaza Jalan SS7/13A, Petaling Jaya.

Tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntuk penjara selama sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Asmaa Zamri manakala tertuduh diwakili Sharvin Nair Yasotharan.

Asmaa mencadangkan nilai wang jaminan berjumlah RM1,000 dengan seorang penjamin selain meletakkan syarat tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa sepanjang kes perbicaraan berjalan.

Dalam pada itu, peguam tertuduh, Sharvin meminta mahkamah menetapkan nilai jaminan yang dicadangkan oleh TPR memandangkan ia adalah amaun yang rasional.

Shahril Anuar setelah meneliti hujah kedua-dua pihak menetapkan wang jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin dan mengekalkan syarat tambahan seperti dicadangkan TPR.

Mahkamah turut menetapkan 27 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen kes.

Terdahulu, media melaporkan tentang tangkapan seorang guru sebuah pusat jagaan kanak-kanak selepas disyaki menendang dan memukul kanak-kanak autism berusia enam tahun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar@Ismail menerusi kenyataan pada 18 Julai lalu mengesahkan penahanan tersebut.

Polis, katanya, menerima laporan polis daripada bapa mangsa.

“Siasatan awal mendapati kanak-kanak itu ditendang, dipukul dan ditarik secara kasar sehingga terjatuh dari kerusi.

“Justeru terdapat juga kesan gigitan di tangan kanak-kanak berkenaan. Rentetan aduan itu, polis telah membuat tangkapan ke atas suspek tempatan berusia 32 tahun itu di kediamannya di Ampang,” kata Shahrulnizam baru-baru ini.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki melakukan pengabaian terhadap kanak-kanak. – MalaysiaGazette

Source :